X

Kindly register in order to view this article
!

Tindakan tegas kalau naikkan harga barang

Datuk Rosol Wahid
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diarah untuk mengambil tindakan ke atas peniaga yang mengambil kesempatan, termasuk menaikkan harga barangan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia susulan aduan diterima pihaknya tentang kenaikan harga barangan di beberapa kawasan di Kedah, hari ini.

"Setakat ini, aduan yang kita terima berlaku di Kedah tetapi semua pegawai dan anggota penguat kuasa seluruh negara telah diarahkan untuk mengadakan operasi dan mengambil tindakan ke atas peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

"Kita juga sudah arahkan pegawai dan anggota penguat kuasa di Kedah untuk menyiasat sama ada kenaikan harga barangan itu ada kaitan dengan pengumuman Prihatin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) terbesar dalam sejarah membabitkan peruntukan RM250 bilion, semalam sebagai tindakan drastik dalam mendepani situasi sukar ketika ini.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, KPDNHEP akan berusaha untuk memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan pelaksanaan Prihatin bulan depan.

Malah, beliau menegaskan KPDNHEP mempunyai kaedah tertentu untuk mengesan peniaga menaikkan harga barangan, termasuk melalui penyamaran.

"Peniaga yang menaikkan harga barangan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011.

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai peniaga menaikkan harga barangan diminta menyalurkan maklumat melalui talian hotline 1-800-886-800 atau di semua pejabat KPDNHEP berhampiran," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus