Kerajaan Pahang bangunkan Kompleks Hybrid Shipyard bernilai RM75 bilion

Tengku Muhammad Iskandar (berdiri, kanan) dan Wan Rosdy (berdiri, kiri) dan menyaksikan MoA antara Projek Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSK) Pahang yang diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pembangunan), Datuk Ali Syahbana Sabaruddin (dua dari kiri) dan Pengarah Eksekutif Teroka Majubina Holdings Berhad, Prof Datuk Dr Irmohizam Ibrahim (dua dari kanan) di sebuah hotel pada Selasa. Foto Rosli Talib-SINAR HARIAN
Tengku Muhammad Iskandar (berdiri, kanan) dan Wan Rosdy (berdiri, kiri) dan menyaksikan MoA antara Projek Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSK) Pahang yang diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pembangunan), Datuk Ali Syahbana Sabaruddin (dua dari kiri) dan Pengarah Eksekutif Teroka Majubina Holdings Berhad, Prof Datuk Dr Irmohizam Ibrahim (dua dari kanan) di sebuah hotel pada Selasa. Foto Rosli Talib-SINAR HARIAN
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang mengumumkan pembinaan Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas di Pekan dengan nilai pelaburan mencecah RM75 bilion, sekali gus menjadikannya projek berimpak tinggi terbesar di negeri itu.

Projek pembangunan di kawasan seluas 1,010.47 ekar di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas itu dilaksanakan melalui kerjasama antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dan Teroka Majubina Holdings Berhad.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kompleks tersebut akan dibangunkan secara berfasa dengan menampilkan tiga komponen utama.

Menurut beliau, ia melibatkan Green Vessel Recycling (GVR) sebagai pusat kitar semula kapal berteknologi hijau, fasiliti pembinaan kapal yang menyediakan kemudahan pembinaan serta penyelenggaraan, dan Tank Farm Oil Platform yang berfungsi sebagai pusat penyimpanan minyak dan gas.

“Fasa pertama akan dimulakan dengan pembangunan Green Vessel Recycling yang dijangka mula beroperasi pada Julai 2027.

“Manakala fasa kedua membabitkan fasiliti pembinaan kapal serta Tank Farm Oil Platform yang dijangka siap dan beroperasi pada Mac 2029,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara PSK Pahang dan Teroka Majubina Holdings Berhad di sebuah hotel pada Selasa.

Turut hadir menyaksikan MoA berkenaan ialah Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Wan Rosdy berkata, projek mega itu dijangka membuka sehingga 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, khususnya anak Pahang, sekali gus memberi limpahan besar kepada ekonomi negeri dan negara.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kewujudan kompleks bersepadu itu, Pahang bakal muncul sebagai hab maritim serantau, pusat kitar semula kapal berteknologi hijau serta hab minyak dan gas yang berdaya saing di rantau ini.

“Pembinaan kompleks ini juga selari dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st dan pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30).

“Melalui kedua-dua gagasan ini, Pahang disasarkan muncul sebagai negeri berdaya tahan, berpendapatan tinggi, inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berharap projek berkenaan dapat berjalan mengikut jadual sekali gus memberi impak jangka panjang sebagai mercu tanda baharu kemajuan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!