40 pelajar Orang Asli tempuh perjalanan lebih 10 jam pulang ke Pos Gob akibat jalan rosak


Laluan rosak akibat hujan berterusan menyebabkan perjalanan 90 kilometer mengambil masa lebih 10 jam, ibu bapa cemas menunggu hampir subuh - Gambar fail Bernama
Laluan rosak akibat hujan berterusan menyebabkan perjalanan 90 kilometer mengambil masa lebih 10 jam, ibu bapa cemas menunggu hampir subuh - Gambar fail Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Sebanyak 40 pelajar Orang Asli terpaksa menempuh perjalanan lebih 10 jam untuk pulang ke Pos Gob, kira-kira 90 kilometer dari bandar selepas laluan ke kawasan itu mengalami kerosakan teruk akibat hujan berterusan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Gob, Hady Liman berkata, kesemua pelajar itu telah menamatkan sesi persekolahan 2025 dan memulakan perjalanan pulang menaiki kenderaan pacuan empat roda pada 12 tengah hari selepas dibenarkan keluar asrama.

Beliau berkata, pelajar terbabit terdiri daripada murid dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, SMK Tengku Indera Petra 1 serta Sekolah Kebangsaan Kuala Betis.

"Mereka tiba di Pos Gob sekitar jam 4 pagi dalam keadaan basah kuyup dan kelaparan. Ibu bapa yang menunggu turut berasa cemas kerana hujan lebat berterusan sejak awal minggu ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hady berkata, sepanjang perjalanan, pelajar terpaksa berdepan pelbagai risiko termasuk melalui laluan jalan tanah merah yang berselut tebal serta paras air Sungai Puian yang meningkat dengan cepat dan berarus deras.

Sehubungan itu, beliau berharap kerja-kerja menaik taraf laluan ke Pos Gob dapat dipercepatkan, termasuk menurap sementara laluan utama dari simpang Pos Simpor ke Pos Gob dengan batu kerikil bagi mengelakkan keadaan jalan menjadi licin.

Sementara itu, penduduk setempat Yusman Andok, 45, berkata, semua jenis kenderaan berdepan kesukaran untuk melalui laluan terbabit akibat keadaan becak dan berlumpur tebal.

"Perjalanan yang biasanya mengambil masa sekitar lima hingga enam jam kini memakan masa sehingga 16 jam, termasuk untuk sampai ke beberapa kampung sekitar Pos Gob seperti Kampung Berog, Kampung Kelerang, Kampung Pinchong dan Kampung Gob,” katanya. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Ringkasan AI

  • Pelajar Orang Asli terpaksa menempuh perjalanan lebih 10 jam untuk pulang ke Pos Gob akibat kerosakan jalan
  • Perjalanan itu melibatkan pelajar dari tiga sekolah yang telah menamatkan sesi persekolahan
  • Mereka tiba di Pos Gob dalam keadaan basah kuyup dan kelaparan sekitar 4 pagi
  • Sepanjang perjalanan, pelajar berdepan risiko seperti laluan jalan tanah merah licin dan paras air sungai yang tinggi
  • Penduduk berharap kerja-kerja menaik taraf laluan ke Pos Gob dapat dipercepatkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!