Lesen judi : Kedah putuskan bawa ke Mahkamah Persekutuan


ALOR SETAR – Kedah mahu mempertahankan keputusan untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri di negeri ini dengan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan selepas rayuan terdahulu ditolak.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, langkah itu dibuat selepas perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah dan kerajaan negeri yang mahu menggunakan sepenuhnya saluran perundangan yang ada.
“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat Undang-Undang negeri Kedah dan kerajaan negeri memutuskan akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan,” katanya pada Jumaat.
Menurutnya, kerajaan negeri terpaksa akur kepada keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini walaupun ia bertentangan dengan pendirian moral dan dasar pentadbiran Kedah.
Pada 12 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah yang mahu mengembalikan keputusannya untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri dengan alasan tindakan tersebut adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan majoriti itu dibuat oleh Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Dr Lim Hock Leng yang menyatakan rayuan berkenaan tidak mempunyai merit, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mempunyai pendapat berbeza.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu memutuskan tindakan kerajaan negeri menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 sebagai tidak sah dan tidak munasabah.
Keputusan tersebut dibuat susulan enam permohonan semakan kehakiman difailkan oleh ejen dan syarikat pertaruhan serta pegawai kanan syarikat terlibat bagi mencabar tindakan kerajaan negeri.
Ringkasan AI
- Kedah terus mempertahankan keputusan tidak perbaharui lesen perjudian ke Mahkamah Persekutuan setelah rayuan ditolak
- Langkah itu selepas perbincangan dengan Penasihat Undang-Undang Negeri dan kerajaan negeri
- Rayuan terdahulu ditolak oleh Mahkamah Rayuan dengan alasan tindakan tersebut tidak berperlembagaan
- Mahkamah Tinggi Alor Setar sebelum ini memutuskan tindakan kerajaan negeri adalah tidak sah
- Keputusan ingin dibawa ke Mahkamah Persekutuan susulan penolakan dan pandangan berbeza Hakim Besar Sabah serta Sarawak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

