Kedah putuskan tindakan susulan setelah tidak boleh 'sekat' lesen judi - Exco

ALOR SETAR - Kedah akan meneliti proses undang-undang seterusnya setelah mahkamah menolak rayuan kerajaan negeri untuk tidak memperbaharui lesen judi dan loteri.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, satu pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan diadakan sebelum perbincangan seterusnya bersama penasihat undang-undang negeri.
"Akan bincang dengan penasihat undang-undang sebelum tindakan susulan diambil," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah yang enggan memberi dan memperbaharui lesen premis perjudian dengan alasan tindakan sedemikian tidak berperlembagaan.
Mansor selalu Exco Kerajaan Negeri Kedah turut menzahirkan rasa kekecewaan berhubung perkara itu menerusi Facebook beliau pada Sabtu.
"Selaku Exco Kerajaan Tempatan Negeri Kedah amat kecewa dan terkilan dengan keputusan hasil proses perundangan yang telah menyekat hasrat serta usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk mengharamkan sepenuhnya operasi premis perjudian berlesen di negeri ini.
"Keputusan ini jelas tidak mencerminkan aspirasi dan kehendak majoriti rakyat Kedah yang menolak kewujudan aktiviti perjudian. Namun begitu, dalam realiti sistem perundangan negara hari ini, Kerajaan Negeri Kedah terpaksa akur, walaupun ia bertentangan dengan pendirian moral dan dasar pentadbiran negeri," tulis beliau di Facebook.
Bagaimanapun, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil itu, Kedah akan meneruskan usaha murni dengan memanfaatkan sepenuhnya kerangka dan saluran perundangan sedia ada.
Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah yang mahu mengembalikan keputusannya untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri.
Dalam keputusan majoriti, Hakim Faizah Jamaludin dan Lim Hock Leng memutuskan bahawa rayuan itu tidak mempunyai merit, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi berbeza pendapat. Tiada perintah kos diberikan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi, Alor Setar pada 20 Jun lalu memutuskan tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 sebagai ‘tidak sah’ dan ‘tidak munasabah’.
Ia susulan enam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh ejen dan syarikat pertaruhan serta pegawai kanan syarikat terlibat bagi mencabar keputusan tersebut.
Ringkasan AI
- Kedah akan meneliti proses undang-undang seterusnya setelah mahkamah menolak rayuan kerajaan negeri untuk tidak memperbaharui lesen judi dan loteri
- Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria, akan berbincang dengan Menteri Besar sebelum mengambil tindakan susulan
- Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah kerana tindakan tidak memberi dan memperbaharui lesen dianggap tidak berperlembagaan
- Mansor menyatakan kekecewaan atas keputusan mahkamah dan menekankan bahawa ia tidak mencerminkan aspirasi rakyat Kedah yang menolak perjudian
- Kedah akan terus menggunakan saluran perundangan untuk mengharamkan operasi premis perjudian berlesen di negeri tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

