Jangkitan Covid-19 seluruh dunia cecah 601,478 kes

Tentera Laut AS menyediakan hospital kapal untuk pesakit bebas Covid-19 bagi membolehkan hospital di darat memberi tumpuan merawat pesakit dijangkiti virus itu. - Foto: Agensi
Tentera Laut AS menyediakan hospital kapal untuk pesakit bebas Covid-19 bagi membolehkan hospital di darat memberi tumpuan merawat pesakit dijangkiti virus itu. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Kira-kira 601,478 kes jangkitan koronavirus (Covid-19) dilaporkan di 177 negara seluruh dunia hari ini selepas ia pertama kali dikenal pasti di China pada akhir Disember lalu.

Ia menyaksikan peningkatan kira-kira 100,000 kes berbanding 500,000 yang direkodkan pada Khamis lalu dan angka tersebut meningkat dua kali ganda berbanding minggu lalu.

Impak pandemik itu telah menjejaskan hampir seluruh benua hingga kebanyakan negara terpaksa mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu ekonomi yang merudum akibat wabak tersebut.

Malam semalam, data dikumpulkan Center for Systems Science and Engineering di John Hopkins University mendapati Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kira-kira 104,837 kes jangkitan Covid-19 termasuk lima anggota Kongres didiagnos positif virus itu selepas ia mengatasi China dan Itali pada Khamis lalu.

Ia sekali gus menepati ramalan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada awal minggu lalu yang menjangkakan AS bakal menjadi pusat wabak baharu Covid-19.

Ancaman pandemik itu yang semakin meningkat bagaimanapun tidak dihiraukan Presiden Donald Trump, malah beliau mengambil remeh amaran diberikan pakar kesihatan walaupun Covid-19 telah meragut lebih 1,700 nyawa di negara itu.

Susulan lonjakan kes Covid-19 di AS, petugas barisan hadapan merayu bantuan alatan perlindungan diberikan kepada mereka yang berdepan kebanjiran pesakit.

Washington yang berada di tangga keenam jumlah kematian paling tinggi dalam kalangan negara terjejas merekodkan peningkatan jumlah korban sehingga 370 orang sehari.

Artikel Berkaitan:

AS yang merupakan negara ekonomi terbesar di dunia itu juga berdepan kekurangan alatan perubatan terutamanya alat bantuan pernafasan ventilator untuk merawat jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Semalam, Trump menggunakan kuasa kecemasan untuk mengarahkan General Motors Co mula menghasilkan alat bantuan pernafasan ventilator selepas ia mendakwa syarikat pembuat kereta terbesar di AS itu 'buang masa' ketika rundingan tentang perkara tersebut.

Bilionair hartanah tersebut turut meluluskan pakej rangsangan ekonomi berjumlah AS$2 trilion (RM8 trilion) yang disifatkan sebagai bantuan kecemasan terbesar dalam sejarah negara itu untuk menghadapi impak Covid-19.

Di Itali, negara kedua mencatatkan jangkitan paling tinggi dengan 86,498 kes selepas AS merekodkan 919 kematian semalam yang merupakan angka harian tertinggi berbanding negara lain di seluruh dunia. - Agensi