Selamat tinggal vape, bukti kesihatan awam diutamakan

Keputusan mengharamkan vape wajar dilihat sebagai langkah berprinsip dan berpandangan jauh demi melindungi generasi muda dan kesihatan negara. Foto hiasan
Keputusan mengharamkan vape wajar dilihat sebagai langkah berprinsip dan berpandangan jauh demi melindungi generasi muda dan kesihatan negara. Foto hiasan
A
A
A

KETEGASAN kerajaan untuk kekal meneruskan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape mencerminkan satu tindakan berani dan terpuji demi menjaga kesihatan awam serta masa depan generasi muda negara.

Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenainya dijangka dibentang pada awal tahun hadapan, yang mana langkah terbabit menunjukkan kerajaan memilih untuk bertindak lebih awal sebelum kesan buruk menjadi lebih parah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, MJM itu kini sedang dimuktamadkan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, selepas pembentangan tidak sempat dilakukan pada mesyuarat Kabinet sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan tetap meneruskan langkah berkenaan walaupun berdepan dengan pelbagai pandangan, berikutan peningkatan kes kemudaratan kesihatan melibatkan penggunaan vape, termasuk cecair vape yang dicemari bahan terlarang seperti ganja sintetik.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan vape dilihat semakin berleluasa, khususnya dalam kalangan remaja dan belia, sekali gus menimbulkan kebimbangan banyak pihak

Vape yang pada awalnya dipromosikan sebagai alternatif lebih selamat kepada rokok kini berubah menjadi ancaman baharu apabila disalah guna dan dipasarkan secara bebas.

Dari sudut kesihatan, keputusan untuk mengekalkan pengharaman vape jelas memberi kelegaan sebagai usaha menyelamatkan generasi muda daripada ketagihan nikotin serta risiko penyakit jangka panjang yang masih belum difahami sepenuhnya.

Dalam setiap dasar tegas, pasti ada pihak yang gembira dan ada juga yang kurang seronok khususnya pengguna yang mengangap vape sebagai jalan keluar untuk mengurangkan ketagihan rokok konvensional.

Pengharaman sepenuhnya dilihat menutup ruang pilihan mereka.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pendekatan tegas itu selari dengan usaha membina negara yang lebih sihat dan produktif, selaras dengan agenda kesejahteraan rakyat yang menuntut pengorbanan jangka pendek demi manfaat jangka panjang.

Dalam jangka panjang, keputusan berkenaan diharap dapat membentuk generasi yang lebih sihat, berdisiplin dan sedar tentang risiko gaya hidup tidak sihat.

Apa yang penting, langkah pengharaman perlu disokong dengan pendidikan kesihatan, kesedaran awam dan pendekatan bersepadu agar masyarakat memahami rasional di sebalik dasar tersebut.

Keputusan mengharamkan vape bukan sesuatu yang menggembirakan semua pihak, bagaimanapun ia wajar dilihat sebagai langkah berprinsip dan berpandangan jauh demi melindungi generasi muda dan kesihatan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!