Berapa dividen ASB 2025?

PENGUMUMAN dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) setiap tahun sering menjadi perhatian kerana ia bukan sahaja mencerminkan pulangan pelaburan tetapi juga memberi gambaran prestasi pengurusan dana dan keadaan pasaran.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ASB mencatatkan trend peningkatan dividen secara beransur-ansur dari 4.6 sen seunit pada 2022 kepada 5.25 sen pada 2023 dan 5.75 sen pada 2024.
Trend ini menunjukkan usaha berterusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk mengekalkan pulangan yang kompetitif walaupun faktor seperti ekonomi global dan domestik yang tidak menentu menuntut pendekatan lebih berhati-hati dalam menentukan kadar dividen.
Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berpendapat, berdasarkan trend semasa jangkaan kadar dividen ASB 2025 dianggarkan sekitar 5.0 hingga 6.0 sen seunit.
“Anggaran ini mengambil kira prestasi pasaran semasa, keadaan ekonomi serta risiko global dan domestik yang masih wujud.
“Ia juga menekankan pendekatan berhati-hati pengurusan dana dalam memastikan kestabilan pulangan jangka panjang bagi pemegang unit,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, kenaikan dari 4.6 sen seunit pada 2022 kepada 5.75 sen seunit pada 2024 menandakan PNB mengekalkan strategi berhati-hati selaras dengan prinsip pengurusan dana berteraskan kestabilan.
Katanya, Ini membolehkan ASB memberi pulangan yang kompetitif tanpa mengambil risiko berlebihan terhadap modal pelabur.
Ujarnya, sejarah juga menunjukkan walaupun terdapat lonjakan dividen pada tahun-tahun tertentu, peningkatan yang terlalu agresif jarang berlaku kerana ia bergantung kepada prestasi pasaran saham dan keuntungan syarikat dipegang oleh dana.
Pendekatan ini memastikan bahawa ASB kekal sebagai instrumen pelaburan yang stabil untuk jangka panjang.
Azizul Azli berkata, Malaysia dijangka berada dalam fasa pertumbuhan sederhana pada 2025 dan memasuki 2026.
“Aktiviti ekonomi disokong perbelanjaan pengguna dan pelaburan awam namun pertumbuhan global yang perlahan dan ketidaktentuan pasaran antarabangsa memberi tekanan kepada keuntungan syarikat yang menjadi pegangan PNB.
“Sementara itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah atau stabil menyokong pasaran ekuiti tetapi keuntungan korporat dijangka sederhana menjadikan lonjakan dividen agak terhad.
“Ini bermakna dividen ASB tidak mungkin melonjak secara mendadak kerana pembayaran dividen tetap bergantung kepada prestasi pelaburan dana di pasaran saham,” katanya.

Ujarnya, faktor global seperti kesan kelemahan nilai dolar dan ketegangan geopolitik antarabangsa yang masih berlaku turut mempengaruhi pasaran kewangan negara.
“Sementara itu, di peringkat domestik menyaksikan pelaburan langsung asing (FDI) yang masih rendah selain pertumbuhan ekonomi sederhana serta pasaran saham yang tidak sekukuh dahulu, isu fiskal dan cukai.
“Dalam konteks ini, pengurusan PNB cenderung mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan kadar dividen supaya modal pelabur terjamin dan kestabilan dana terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu katanya, dividen ASB turut dijadikan perbahasan ekonomi dan politik kerana sering menjadi barometer kepentingan ekonomi Bumiputera.
Ujarnya, kerajaan mempunyai kepentingan untuk memastikan ASB kekal relevan dan mampu memberi pulangan memuaskan pemegang unit.
“Walaupun faktor politik boleh memberi sedikit tekanan kepada kadar dividen untuk kekal meningkat pengumuman dividen biasanya mengambil kira kestabilan pasaran dan risiko jangka panjang.
“Jika dividen 5.75 sen seunit pada 2024, anggaran 5.5 sen pada 2025 dianggap realistik selaras dengan pendekatan berhati-hati pengurusan dana dalam menghadapi ekonomi yang sederhana dan risiko yang wujud,” katanya.
Ujarnya, anggaran dividen ASB itu mencerminkan keseimbangan antara prestasi pasaran yang sederhana, pengurusan risiko jangka panjang dan keperluan mengekalkan keyakinan pemegang unit.
“Bagi pelabur, fokus utama haruslah pada kestabilan dan kesinambungan pulangan jangka panjang bukannya angka tahunan semata-mata.
“Pendekatan berhati-hati ini memastikan ASB terus menjadi instrumen pelaburan yang selamat dan relevan walaupun landskap ekonomi dan pasaran saham semakin kompleks,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Uitm Puncak Alam, Dr Nur Zahidah Bahrudin menjangkakan dividen bagi ASB 2025 meningkat sehingga mencapai 6 peratus.
“Kadar dividen ASB 2025 dijangka meningkat hingga sekitar 6 peratus berikutan beberapa faktor positif antaranya pemulihan dan peningkatan stabil pasaran saham Bursa Malaysia sejak akhir 2024 yang meningkatkan pendapatan pelaburan ASB. Bursa Malaysia juga melaporkan indeks yang ditutup tinggi bagi sesi keempat 2025 berturut-turut.
“Selain itu, kestabilan ekonomi dengan unjuran pertumbuhan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang positif serta prestasi kukuh sektor utama seperti perbankan, tenaga dan teknologi,”katanya.
Tidak ketinggalan, strategi pelaburan PNB yang lebih aktif dan berfokus kepada pelaburan berkualiti termasuk di luar negara, menambah pendapatan boleh agih, pengurusan kos dana yang lebih cekap serta tekanan sosial dan harapan rakyat agar pulangan ASB kekal kompetitif sebagai instrumen simpanan utama negara.
Ringkasan AI
- PENGUMUMAN dividen Amanah Saham Bumiputera sering menjadi perhatian kerana mencerminkan pulangan pelaburan dan prestasi pengurusan dana
- ASB mencatatkan trend peningkatan dividen dari 4.6 sen seunit pada 2022 kepada 5.75 sen pada 2024
- Usaha Permodalan Nasional Berhad menyokong pulangan yang kompetitif dengan pendekatan berhati-hati dalam pengurusan dana
- Jangkaan dividen ASB untuk tahun 2025 dianggarkan sekitar 5.0 hingga 6.0 sen seunit, mengambil kira prestasi pasaran dan risiko global
- Kestabilan ekonomi dan pendekatan pengurusan dana yang berhati-hati memastikan ASB sebagai instrumen pelaburan yang stabil untuk jangka panjang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


