Israel meterai perjanjian gas berbilion dolar dengan Mesir

Netanyahu bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dalam perbincangan bersama berhubung pemeteraian perjanjian berkenaan.-Agensi
Netanyahu bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dalam perbincangan bersama berhubung pemeteraian perjanjian berkenaan.-Agensi
A
A
A

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Rabu mengumumkan kelulusan perjanjian eksport gas asli bernilai 112 bilion shekel (AS$34.67 bilion atau RM142.1 bilion), yang disifatkannya sebagai perjanjian gas terbesar dalam sejarah Israel.

Menurut Netanyahu, perjanjian bersejarah itu dimeterai bersama syarikat tenaga Amerika Syarikat, Chevron, dengan kerjasama rakan kongsi tempatan Israel bagi membekalkan gas asli ke Mesir.

“Hari ini (Rabu) saya telah meluluskan perjanjian gas terbesar dalam sejarah Israel.

"Nilainya mencecah 112 bilion shekel, dan gas akan dibekalkan ke Mesir,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen.

Perjanjian tersebut, yang asalnya ditandatangani pada Ogos lalu, sebelum ini tertangguh susulan beberapa isu teknikal dan pentadbiran yang belum diselesaikan.

Bekalan gas itu akan disalurkan dari medan gas Leviathan milik Israel ke Mesir.

Netanyahu menegaskan perjanjian berkenaan bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, malah berpotensi membantu mengekalkan kestabilan serantau.

Eksport gas dari Israel dijangka dapat meringankan krisis tenaga Mesir, yang sejak 2022 terpaksa membelanjakan berbilion dolar untuk mengimport gas asli cecair selepas pengeluaran domestiknya menunjukkan penurunan ketara.

Perjanjian ini turut dilihat sebagai langkah strategik dalam kerjasama tenaga serantau, ketika Mesir berusaha memenuhi keperluan tenaga domestik serta mengekalkan peranannya sebagai hab tenaga di rantau Asia Barat. -Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!