Rasuah tanpa sedar apabila alpa terhadap integriti - Rasuah Busters

SHAH ALAM - Kealpaan terhadap integriti berlaku apabila seseorang mula menormalisasikan perbuatan yang bercanggah dengan amanah.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, hadiah kecil diterima atas nama penghargaan, layanan istimewa dasar hubungan, penggunaan kemudahan organisasi untuk kepentingan peribadi atau sikap berdiam diri apabila melihat salah laku sering tidak dianggap sebagai rasuah.

Menurutnya, setiap kelonggaran kecil itulah yang perlahan-lahan menghakis nilai integriti seseorang individu.
“Dalam dunia digital hari ini, banyak perkara dilakukan secara dalam talian hanya kita dan telefon di tangan. Tiada siapa memerhati, tiada kamera, tiada saksi. Namun persoalannya, adakah kita masih melakukan perkara yang betul apabila tiada siapa melihat?
“Jawapannya sepatutnya ya, kerana kebenaran tidak bergantung pada siapa yang memerhati, tetapi pada nilai dalam diri.
"Seperti perumpamaan lama, setinggi manapun burung terbang, akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Begitu juga dengan perbuatan yang salah cepat atau lambat, kesannya akan kembali kepada diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ceramah integriti bertajuk ‘Rasuah Tanpa Sedar, Alpa Pada Integriti’ sempena Hari Integriti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) 2025 di KSL Esplanade Hotel, Klang pada Selasa.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M Yusop dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Tambah Nurhayati, antara isu paling sukar dikenal pasti adalah perbezaan antara hadiah dan rasuah.
“Hadiah sering dianggap adat, budaya dan tanda penghormatan. Namun dalam konteks rasmi, hadiah boleh menjadi 'inducement' jika ia bertujuan mempengaruhi keputusan masa hadapan.
“Di sinilah kepentingan polisi hadiah. Hadiah hanya boleh diterima jika tidak bersyarat, tidak mewujudkan jangkaan balasa, tidak melibatkan konflik kepentingan dan selaras dengan polisi organisasi.
“Jika hadiah diberikan secara tersembunyi, menimbulkan keterujaan melampau atau mempengaruhi keputusan rasmi, maka ia bukan lagi hadiah ia adalah rasuah yang menyamar,” tegasnya.
Menurut beliau, penggunaan kenderaan syarikat untuk urusan peribadi, menggunakan waktu pejabat untuk kerja sambilan atau menjadikan lawatan kerja sebagai percutian terselindung adalah antara contoh salah guna kuasa yang sering dipandang ringan.
Katanya, begitu juga budaya memberi hadiah secara berlebihan kepada guru atau pihak berautoriti sehingga mewujudkan layanan istimewa.
“Di sesetengah negara seperti Jepun, hadiah sebegini dilarang sama sekali kerana bimbang berlakunya 'favouritism'.
“Budaya integriti bukan bergantung kepada ada orang melihat atau tidak. Contohnya di Jepun, lampu isyarat merah tetap dipatuhi walaupun pada jam 3 pagi tanpa sesiapa di sekeliling. Ini kerana pematuhan undang-undang datang daripada nilai moral, bukan pengawasan,” katanya.
Ujar beliau, pada hari ini banyak organisasi telah menyediakan saluran whistleblower di mana laporan boleh dibuat secara sah, berfakta dan juga secara anonim.
Menurutnya, namun sistem itu hanya berkesan jika kakitangan diberi pendedahan jelas tentang cara menggunakannya dan dilindungi daripada tindakan balas.“
Laporan yang sah bukan gosip, tetapi maklumat berasas demi kepentingan awam. Tanpa sistem pelaporan yang berfungsi, kesalahan kecil akan terus membesar menjadi barah organisasi.
“Integriti tidak cukup dengan niat baik. Ia memerlukan sistem yang jelas iaitu, perancangan, pelaksanaan, pemantauan, penguatkuasaan, pelaporan dan tindakan susulan dan penilaian semula.
“Pengisytiharan konflik kepentingan juga sangat penting. Tanpa ketelusan, keputusan mudah dipersoalkan dan kepercayaan akan hilang,” katanya.
Dalam pada itu, Saipolyazan M Yusop berkata, sebanyak 13 daripada 26 syarikat di bawah MBI Selangor berjaya menyiapkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), sekaligus memperkukuh amalan tadbir urus yang baik serta membendung risiko rasuah
dalam organisasi masing-masing.
Pencapaian itu dizahirkan menerusi pelancaran OACP sempena majlis berkenaan yang membabitkan MBI Selangor serta dua entiti di bawahnya iaitu Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).
Sejak 2023, OACP dilaksanakan secara berperingkat membabitkan syarikat milikan MBI Selangor dengan 13 syarikat berjaya menyiapkan pelan berkenaan setakat ini.
"Pelaksanaan OACP dilaksanakan secara berperingkat sejak 2023 bermula dengan MBI Selangor dan lima syarikat milikan, diikuti enam lagi syarikat pada 2024 serta dua syarikat pada tahun ini.
"Fokus utama adalah memastikan amalan tadbir urus yang baik dilaksanakan secara menyeluruh, khususnya di syarikat berskala besar yang mempunyai nilai transaksi dan perolehan tinggi, sebelum diperluaskan kepada syarikat strategik lain," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan OACP akan terus diperkukuh melalui bimbingan pasukan Integriti dan Governans (IG) MBI Selangor, bermula daripada pengurusan risiko rasuah (CRM) sehingga pelaksanaan penuh pelan itu di peringkat syarikat.
Saipolyazan juga berkata, MBI Selangor bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya dalam menilai semula polisi dan prosedur syarikat bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan mematuhi prinsip integriti serta menutup ruang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.
Sementara itu, Ahmad Fadzli berkata, kerajaan negeri kekal konsisten dengan hasrat menjadikan Selangor dikenali kerana integriti, bukan disebabkan isu rasuah, dan komitmen itu dizahirkan melalui pelaksanaan OACP secara berperingkat dalam Kumpulan MBI Selangor.
"MBI Selangor kini melangkah setapak ke hadapan dengan pelaksanaan OACP edisi kedua bagi tempoh lima tahun seterusnya, sekali gus membuktikan kesungguhan berterusan dalam agenda antirasuah.
"Inisiatif pelaksanaan OACP ini telah dimasukkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di bawah sektor tumpuan Tadbir Urus, menjadikannya agenda utama di peringkat tertinggi kerajaan negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

