IWK perkuat komitmen terhadap integriti, tadbir urus korporat

Depan dari kiri, Coach Hakim, Coach Jamil, Nurhayati dan Narendran ketika Program Hari Integriti IWK KLHO 2025 di Auditorium RSTP Langat.
Depan dari kiri, Coach Hakim, Coach Jamil, Nurhayati dan Narendran ketika Program Hari Integriti IWK KLHO 2025 di Auditorium RSTP Langat.
A
A
A

SHAH ALAM – Indah Water Konsortium (IWK) terus memperkukuh komitmen terhadap integriti dan tadbir urus korporat menerusi kerjasama strategik bersama Rasuah Busters, sebagai usaha berterusan membina budaya kerja beretika dan bebas rasuah di semua peringkat organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, inisiatif ini bukan hanya berbentuk program jangka pendek, sebaliknya merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh syarikat dalam memperkasa nilai integriti secara berterusan.

“IWK amat mengalu-alukan kerjasama dengan Rasuah Busters dalam usaha memupuk kesedaran integriti merentasi semua lapisan warga kerja.

“Pelaksanaan program ini bukan hanya terhad kepada tahun semasa, malah dirancang untuk diteruskan pada tahun 2026 melalui pelbagai strategi dan perancangan komprehensif,” katanya semasa Program Hari Integriti IWK KLHO 2025 di Auditorium Loji Kumbahan Berpusat Langat (RSTP Langat), Selasa lalu.

Beliau turut memaklumkan bahawa selain kakitangan dalaman, IWK juga bercadang memperluas pelaksanaan program integriti ke universiti-universiti tempatan mulai tahun hadapan.

Katanya, pendekatan ini bertujuan memupuk kesedaran awal dalam kalangan mahasiswa, sekali gus membentuk generasi berintegriti sebelum memasuki alam pekerjaan.

Katanya lagi, usaha tersebut selari dengan komitmen IWK terhadap pematuhan perundangan termasuk Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang menekankan liabiliti korporat dalam pembanterasan rasuah.

Menurutnya, sebagai langkah memperkukuh struktur dalaman, IWK telah menaik taraf Unit Integriti kepada Jabatan Integriti dan Governans, yang kini bertanggungjawab merancang, melaksana serta memantau pelbagai program kesedaran antirasuah dan memastikan tadbir urus syarikat kekal pada tahap tertinggi.

“Sebarang isu integriti akan ditangani secara telus melalui proses sewajarnya. Saya percaya pelbagai program yang dirancang untuk tahun hadapan akan terus memperkukuh budaya integriti dalam organisasi ini,” jelas Narendran.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, asas kehidupan berkualiti bermula daripada nilai keagamaan yang diamalkan dengan konsisten.

“Untuk menjadi kehidupan yang baik, kita perlu kembali kepada keagamaan. Jika kita benar-benar mempraktikkannya, itu sahaja sudah cukup untuk kita memperoleh kehidupan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin menekankan pentingnya keseimbangan antara pekerjaan dan tanggungjawab kemanusiaan yang didasari nilai integriti.

“Keseimbangan ini hanya dapat dicapai melalui kekuatan dalaman yang dibina secara individu dan dikembangkan secara kolektif dalam organisasi.

“Tanggungjawab kepada Tuhan, alam dan sesama makhluk perlu dihayati. Nilai-nilai ini jika diamalkan akan menjadi nukleus kepada budaya integriti dalam pejabat, komuniti, keluarga dan negara,” katanya.

Tambah beliau, integriti bukan sekadar mematuhi undang-undang kerana takutkan hukuman atau mengejar ganjaran, sebaliknya memahami makna kewujudan dan amanah dalam sesebuah organisasi.

Penceramah jemputan program Integrity Hub Training, Coach Hakim pula menjelaskan bahawa program integriti sering disalah tafsir sebagai reaksi terhadap isu dalaman organisasi.

“Sebenarnya, ia adalah peringatan berterusan untuk membudayakan yang betul dan membetulkan perkara yang biasa,” katanya.

Coach Jamil pula berpendapat kekuatan dalaman individu menjadi asas kepada perubahan luaran organisasi.

“Empat komponen utama iaitu fizikal, intelektual, emosi dan spiritual perlu seimbang. Apabila ini dicapai, maka lahirlah individu yang kuat, beretika dan bertanggungjawab dalam setiap tugasan,” ujarnya.

Integrity Hub Training merupakan program khas Rasuah Busters untuk sektor korporat dengan modul berteraskan pengurusan risiko rasuah, al-Quran dan Rukun Negara.

Mana-mana organisasi yang berminat untuk menjalinkan kerjasama boleh menghubungi Pengurus Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan, di talian 019-2802080.

Ringkasan AI

  • Indah Water Konsortium (IWK) memperkuat komitmen terhadap integriti dan tadbir urus melalui kerjasama dengan Rasuah Busters
  • Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang IWK untuk memupuk budaya kerja beretika
  • Program integriti dirancang akan diteruskan hingga tahun 2026 dengan strategi dan perancangan yang komprehensif
  • IWK bercadang memperluas program integriti ke universiti-universiti tempatan mulai tahun hadapan untuk membentuk generasi berintegriti
  • Unit Integriti IWK telah dinaik taraf menjadi Jabatan Integriti dan Governans untuk merancang dan memantau program kesedaran antirasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!