Kita pun dah tak selamat

BANJIR lumpur dahsyat yang melanda Aceh baru-baru ini bukan sekadar tragedi kemanusiaan, sebaliknya satu amaran keras kepada negara-negara serantau termasuk Malaysia.
Kejadian itu meragut nyawa, memusnahkan kediaman, harta benda dan pelbagai infrastruktur hingga meninggalkan kesan trauma terhadap ribuan penduduk. Mereka bukan sahaja hilang insan tersayang, hilang tempat tinggal bahkan hilang sumber rezeki.
Lebih menyedihkan, bencana ini bukan semata-mata berpunca daripada hujan lebat tetapi didorong oleh kerakusan manusia mengeksploitasi alam tanpa kawalan.
Pelbagai laporan dan pemerhatian menunjukkan punca utama banjir lumpur di Aceh adalah pembalakan tidak terkawal yang menghakis benteng semula jadi hutan.
Pembangunan tidak lestari turut menjadi faktor penyumbang besar. Akibatnya, keseimbangan ekosistem terganggu dan risiko bencana meningkat berkali ganda. Lebih membimbangkan, kelemahan penguatkuasaan undang-undang terhadap pembalakan haram dan pembangunan berisiko tinggi menjadikan amaran pakar sekadar hiasan laporan.
Malaysia tidak wajar memandang tragedi di Aceh sebagai isu luar. Kita juga berdepan masalah sama iaitu pembalakan haram, pencerobohan hutan simpan, pembangunan di kawasan cerun dan penukaran guna tanah yang agresif.
Setiap kali musim hujan, kita menyaksikan kejadian banjir kilat, tanah runtuh dan kepala air yang semakin kerap serta sukar dijangka. Semua ini petanda bahawa sistem semula jadi kita semakin rapuh dan kita pun tak selamat!
Malaysia perlu bertindak sebelum terlambat. Pengurusan sumber hutan mesti diperketat dengan penguatkuasaan tegas, pemantauan bebas dan hukuman berat terhadap pelaku pembalakan haram.
Tiada kompromi terhadap pihak yang merosakkan alam demi keuntungan peribadi. Pembangunan pula perlu berlandaskan prinsip lestari dengan penilaian impak alam sekitar yang telus dan tidak dimanipulasi.
Dalam masa sama, kesiapsiagaan bencana perlu diperkukuh. Sistem amaran awal, pemetaan kawasan berisiko, pusat pemindahan sementara yang mencukupi serta latihan berkala kepada komuniti setempat mesti diberi keutamaan.
Bencana tidak menunggu kita bersedia, sebaliknya datang menghukum kelemahan yang diabaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
