APM redah banjir satu kilometer bantu pesakit strok

MACHANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Machang meredah banjir 0.5 meter sejauh satu kilometer bagi membantu seorang pesakit strok di Kampung Temangan, di sini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Machang, Leftenan (PA) Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, pada jam 10.01 pagi, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan daripada orang awam mengenai seorang pesakit yang memerlukan bantuan segera.
"Susulan itu, anggota APM bersama seorang Pembantu Pegawai Perubatan daripada Klinik Kesihatan Temangan bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 10.50 pagi.
"Pesakit dirawat selama lebih satu jam, dan operasi berakhir pada jam 12.01 tengah hari," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurut beliau, anggota APM terpaksa meredah air setinggi kira-kira 0.5 meter sepanjang kira-kira satu kilometer kerana laluan ke lokasi dinaiki air akibat banjir.
Ujarnya, jarak dari PKOD APM Machang ke lokasi kejadian adalah kira-kira 20 km.
Tambah beliau, operasi tersebut melibatkan sebuah lori dan ambulans dengan kekuatan seramai 10 pegawai serta anggota lain-lain pangkat.
"Pesakit, Mohd Yusuf bin Awang, 70, mengalami strok dan memerlukan rawatan susulan akibat penyakit yang dihadapi serta terkandas kerana laluan ke kediamannya terkepung banjir.
"Semua anggota kembali ke PKOD pada jam 12.38 tengah hari," katanya.
Ringkasan AI
- APM Daerah Machang meredah banjir setinggi 0.5 meter sejauh satu kilometer untuk membantu pesakit strok di Kampung Temangan
- Panggilan bantuan diterima pada jam 10.01 pagi dan anggota APM bersama Pembantu Pegawai Perubatan tiba di lokasi jam 10.50 pagi
- Pesakit dirawat selama lebih satu jam, operasi berakhir pada jam 12.01 tengah hari
- Operasi melibatkan sebuah lori dan ambulans dengan seramai 10 pegawai serta anggota lain
- Pesakit, Mohd Yusuf bin Awang, 70, mengalami strok dan terkandas akibat laluan ke kediamannya terkepung banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

