Bomba bantu pindah jenazah terkandas banjir

KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang menghulurkan bantuan kemanusiaan dengan memindahkan jenazah selepas kenderaan yang membawanya terkandas akibat banjir di Jalan Kuantan–Pekan berhampiran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di sini pada Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kenderaan terbabit membawa jenazah seorang wanita warga emas berusia 76 tahun dalam perjalanan ke Kuala Pahang, Pekan.
Menurutnya, wanita berkenaan difahamkan meninggal dunia di Indera Mahkota akibat kanser sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya untuk dikebumikan.
“Disebabkan van jenazah tidak dapat melintasi kawasan banjir, orang awam memohon bantuan JBPM bagi membantu urusan penghantaran jenazah tersebut.
“Bertindak pantas atas permohonan itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu yang diketuai Ketua Operasi, Hazizi Shahi telah menggerakkan sebuah lori JBPM untuk membawa jenazah dari lokasi kejadian ke Inderapura,” katanya.
Beliau berkata, operasi memindahkan jenazah berjaya dilaksanakan dengan selamat dan lancar.
Ringkasan AI
- JBPM Negeri Pahang memindahkan jenazah akibat banjir di Jalan Kuantan–Pekan
- Kenderaan yang membawa jenazah wanita berusia 76 tahun terkandas
- Wanita tersebut meninggal akibat kanser dan dalam perjalanan ke kampung halaman
- Orang awam memohon bantuan JBPM untuk menghantar jenazah
- Empat anggota BBP Peramu menggerakkan lori JBPM membawa jenazah dengan selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

