Tabung kutipan Jumaat seluruh Perlis bantu banjir Acheh - MAIPs

KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menetapkan kutipan Tabung Jumaat di semua masjid seluruh negeri pada hari ini akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Acheh.
Yang Dipertua MAIPs,Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dalam kenyataan rasmi bertitah bahawa langkah itu diambil sebagai manifestasi semangat ukhuwah Islamiah dan keprihatinan terhadap mangsa bencana di wilayah berkenaan.
“Adalah saya menyeru seluruh umat Perlis yang dikasihi agar bersama-sama menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di Acheh.
“Besarlah harapan saya agar sumbangan ikhlas yang dihulurkan akan membantu usaha pemulihan dan pembangunan semula kehidupan saudara kita di sana,” titah baginda.
Baginda yang juga Raja Muda Perlis bertitah, bantuan ini bukan sahaja mencerminkan semangat persaudaraan, malah menjadi bukti keprihatinan masyarakat negeri ini terhadap penderitaan yang dialami mangsa banjir.
Baginda turut menzahirkan doa agar Allah SWT merahmati setiap usaha dan sumbangan yang dihulurkan, serta memberikan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh mangsa dalam menghadapi ujian besar tersebut.
Ringkasan AI
- Kutipan Tabung Jumaat di masjid seluruh Perlis akan disalurkan kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Acheh
- Langkah ini diambil sebagai manifestasi semangat ukhuwah Islamiah dan keprihatinan terhadap mangsa bencana di Acheh
- Rakyat Perlis diseru untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir
- Bantuan ini mencerminkan semangat persaudaraan dan keprihatinan masyarakat Perlis terhadap penderitaan mangsa banjir
- Doa dipanjatkan agar Allah SWT merahmati usaha sumbangan dan memberi kekuatan kepada mangsa banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

