Lapan laluan ditutup di Kuantan akibat banjir

KUANTAN - Lapan laluan di daerah ini ditutup ekoran banjir pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, laluan terlibat termasuk Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang ditutup kedua-dua arah kepada semua kenderaan.
Menurutnya, jalan lain yang terjejas ialah Kilometer (KM) 30 Jalan Kuantan - Maran, hadapan Kilang Sawmill Seng Peng yang hanya boleh dilalui kenderaan berat dan KM 36 Jalan Kuantan - Maran, hadapan Bukit Gambang Resort yang turut ditutup kepada semua kenderaan.
"Jalan Air Hitam ditutup kepada semua kenderaan ekoran salah satu lokasi di laluan itu ditenggelami air kira-kira 0.5 meter.
"Jalan Kampung Pasir Kemudi yang dilimpahi air sepanjang 1.8 kilometer dengan paras air kira-kira 1.2 meter juga ditutup kepada semua kenderaan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Ashari berkata, turut terjejas ialah Jalan Kampung Bukit Bangkong (Perkampungan Orang Asli) yang dilimpahi air sejauh 1.5km dengan anggaran paras air 0.90 meter kini ditutup kepada semua kenderaan.
Katanya, Jalan Kuantan – Pekan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan begitu juga KM 16 Jalan Sg Lembing – Kuantan (Berhampiran Kilang Papan Bkt Kuin) yang dilimpahi air berarus sepanjang 100 meter dengan anggaran paras air 0.5 meter ditutup kepada kenderaan ringan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menggunakan jalan-jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas khususnya di kawasan rendah serta berhampiran sungai dan parit besar.
"Penutupan jalan dibuat bagi mengelakkan risiko kemalangan, kerosakan kenderaan serta ancaman keselamatan nyawa," katanya.
Tambah beliau, pihak polis akan terus melaksanakan kawalan lalu lintas, rondaan keselamatan serta bantuan pemindahan di kawasan terjejas.
Sementara itu katanya, setakat jam 12 tengah hari, 15 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini bagi menempatkan 1,817 mangsa banjir yang terjejas.
Beliau berkata, pihak polis bersama agensi keselamatan dan penyelamat sentiasa bekerjasama dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan ketenteraman awam dipelihara.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah segera ke PPS apabila diarahkan serta tidak meredah banjir atau cuba melalui jalan yang dinaiki air.
"Elakkan aktiviti berhampiran arus deras, longkang, parit dan sungai selain sentiasa memantau makluman rasmi daripada pihak berkuasa," katanya.
Ringkasan AI
- Lapan laluan di Kuantan ditutup akibat banjir
- Jalan Kuantan-Pekan dan beberapa laluan lain tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan
- Antara kawasan terjejas termasuk Jalan Air Hitam dan Jalan Kampung Bukit Bangkong
- Penutupan jalan bertujuan mengelakkan risiko kemalangan dan ancaman keselamatan
- 15 pusat pemindahan sementara dibuka untuk 1,817 mangsa banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

