UEC: Tiga persatuan bekas pelajar universiti terkemuka China nafi kenyataan Asyraf Wajdi

SHAH ALAM – Tiga persatuan bekas pelajar universiti ternama di China menafikan dakwaan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan syarat kemasukan ke universiti-universiti tersebut.
Menerusi satu kenyataan bersama, Persatuan Alumni Universiti Peking Malaysia, Persatuan Graduan Universiti Tsinghua Malaysia dan Alumni Universiti Shanghai Jiao Tong Malaysia berkata, kenyataan itu tidak menggambarkan secara tepat amalan kemasukan yang telah lama diamalkan oleh universiti-universiti di China, mahupun kriteria sebenar yang ditetapkan.
“UEC telah lama diiktiraf oleh banyak universiti terkemuka di China dan kekal sebagai kelayakan penting untuk kemasukan pelajar Malaysia. Sejak bertahun-tahun lalu, sebilangan besar pelajar Malaysia telah diterima masuk ke universiti-universiti terkemuka di China berdasarkan keputusan UEC mereka.
“Universiti Peking, sebagai contoh, telah mengiktiraf UEC sejak tahun 2009. Pada tahun tersebut, semua pelajar sarjana muda Malaysia yang diterima masuk ke Universiti Peking memohon berdasarkan keputusan UEC mereka.
“Pada tahun-tahun berikutnya, jumlah pelajar Malaysia yang mendaftar di Universiti Peking terus meningkat, dengan sebahagian besar diterima masuk berdasarkan keputusan UEC mereka,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut menambah bahawa UEC bukan satu-satunya kelayakan yang diterima oleh universiti-universiti di China, kerana institusi pengajian tinggi di negara tersebut turut membuka ruang kepada pemohon yang memiliki kelayakan lain seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), A-Level dan sebagainya.
Jelasnya, pelajar daripada latar belakang pendidikan berbeza boleh memohon berdasarkan kelayakan yang paling mencerminkan persediaan akademik dan keadaan individu mereka.
“Persatuan-persatuan ini menegaskan bahawa UEC sebagai salah satu kelayakan yang diiktiraf untuk kemasukan ke universiti-universiti di China telah lama menjadi pilihan penting bagi pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian tinggi di China.
“Kami mengalu-alukan semua pemohon yang layak, sama ada memohon berdasarkan UEC atau keputusan peperiksaan lain yang diiktiraf, untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti di China, meluaskan perspektif mereka, membangunkan diri dari segi akademik dan peribadi serta menyumbang kepada masyarakat selepas menamatkan pengajian,” menurut kenyataan itu lagi.
Ketiga-tiga persatuan itu dalam masa sama turut berharap agar perbincangan awam mengenai pendidikan dan kemasukan ke universiti berasaskan maklumat yang lengkap dan tepat, supaya dapat mengelakkan kekeliruan yang boleh menjejaskan pilihan pelajar berkaitan pendidikan tinggi.
Ringkasan AI
- Tiga persatuan bekas pelajar universiti ternama di China menafikan dakwaan bahwa UEC bukan syarat kemasukan ke universiti-universiti tersebut
- UEC telah lama diiktiraf oleh banyak universiti terkemuka di China sebagai kelayakan penting untuk kemasukan pelajar Malaysia
- Universiti Peking mengiktiraf UEC sejak tahun 2009, dengan semua pelajar sarjana muda Malaysia diterima masuk berdasarkan keputusan UEC mereka
- UEC bukan satu-satunya kelayakan yang diterima, institusi pengajian tinggi di China turut menerima kelayakan lain seperti STPM, A-Level
- Persatuan-persatuan berharap perbincangan pendidikan dan kemasukan ke universiti berasaskan maklumat yang lengkap dan tepat untuk mengelakkan kekeliruan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

