Saintis dakwa temui apa yang dimakan makhluk asing

LONDON — Usaha manusia untuk menjajah planet lain, termasuk impian jutawan Elon Musk untuk membangunkan koloni di Marikh, berdepan cabaran baharu apabila saintis mendakwa mereka telah mengenal pasti sumber 'makanan' yang mungkin menyokong kehidupan makhluk asing — namun berbahaya kepada manusia.
Penyelidik berkata, tidak semua bentuk kehidupan memerlukan keadaan seperti di Bumi untuk terus hidup. Sebaliknya, kehidupan di planet lain mungkin bergantung kepada sumber tenaga yang berbeza, termasuk radiasi kosmik berintensiti tinggi yang boleh membawa maut kepada manusia.
Menurut kajian terbaharu, kelompok zarah tenaga tinggi yang dikenali sebagai sinar kosmik galaksi berpotensi menyokong kehidupan di dunia luar Bumi.
Sinar ini memancarkan radiasi yang mampu mencetuskan tindak balas kimia melalui proses yang dikenali sebagai radiolisis, iaitu pemecahan molekul air yang menghasilkan bahan sampingan yang boleh berfungsi sebagai bahan api untuk kehidupan.
Ketua penyelidik, Dr Dimitra Atri berkata, penemuan itu mengubah cara manusia menilai kemungkinan kewujudan kehidupan di alam semesta.
“Penemuan ini mengubah cara kita berfikir tentang lokasi yang mungkin menyokong kehidupan.
“Daripada hanya mencari planet yang panas dan menerima cahaya matahari, kita kini boleh mempertimbangkan tempat yang gelap dan sejuk, asalkan mempunyai air di bawah permukaan dan terdedah kepada sinar kosmik. Kehidupan mungkin boleh wujud di lebih banyak tempat daripada yang pernah kita bayangkan," katanya.
Kajian tersebut memberi tumpuan kepada Marikh serta dua bulan planet Musytari, iaitu Europa dan Enceladus.

Para penyelidik mensimulasikan bagaimana sinar kosmik memecahkan molekul air pada pelbagai kedalaman bagi menilai berapa banyak sel teori yang mampu disokong oleh persekitaran tersebut.
Mereka meneliti penghasilan elektron — komponen penting dalam penghasilan tenaga bagi semua organisma hidup — dan membandingkan hasil simulasi dengan pengetahuan sedia ada mengenai ekstremofil, iaitu organisma di Bumi yang mampu hidup dalam keadaan ekstrem.
Bagaimanapun, penemuan itu bukan berita baik untuk penjajahan manusia. Ini kerana organisma yang hidup dalam persekitaran ekstrem diketahui 'memakan' sumber tenaga yang berbahaya kepada manusia. Antara contohnya ialah bakteria Candidatus Desulforudis audaxviator, yang memperoleh tenaga daripada pereputan radioaktif uranium.
Sebahagian ekstremofil yang tahan radiasi juga bersembunyi jauh di bawah permukaan tanah bagi mengelak pendedahan terus kepada radiasi. Dalam kajian ini, penyelidik mendapati Enceladus mempunyai potensi tertinggi untuk menyokong kehidupan.
Menurut kertas kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Astrobiology, bulan itu berupaya menyokong sehingga 42,900 sel bagi setiap sentimeter padu pada kedalaman kira-kira 60 sentimeter.
Marikh pula dianggarkan mampu menyokong sekitar 11,600 sel pada kedalaman sedikit melebihi setengah meter, manakala Europa sekitar 4,200 sel pada kedalaman satu meter. Namun, saintis menegaskan bahawa bentuk kehidupan tersebut berkemungkinan merupakan bentuk kehidupan paling awal, bukannya makhluk kompleks seperti manusia.
Dr Atri menegaskan bahawa radiolisis bukan sekadar proses yang merosakkan, malah boleh memainkan peranan penting dalam pembentukan bahan kimia yang berguna secara biologi.
“Kami menekankan bahawa radiolisis bukan sahaja bersifat merosakkan, tetapi juga boleh membantu menghasilkan bahan kimia penting dan memudahkan pemindahan elektron yang diperlukan untuk aktiviti metabolik.
“Ini memberi perspektif lebih luas tentang bagaimana kehidupan boleh muncul dan bertahan dalam persekitaran yang selama ini dianggap tidak sesuai untuk kehidupan," katanya.
Beliau turut menggesa misi angkasa masa depan memberi tumpuan kepada kawasan bawah permukaan cetek di Marikh, Europa dan Enceladus, serta dilengkapi peralatan untuk mengesan biosignatur, iaitu petunjuk kewujudan kehidupan.
Elon Musk sebelum ini secara terbuka menyatakan hasratnya untuk membangunkan penempatan manusia di Marikh dan akhirnya mengubah planet itu supaya menyerupai Bumi.
Namun, penemuan terbaharu ini menunjukkan bahawa jika kehidupan asing wujud di sana, persekitaran tersebut mungkin lebih mesra kepada mikroorganisma ekstrem berbanding manusia. - Agensi
Ringkasan AI
- Usaha manusia menjajah planet lain berdepan cabaran apabila saintis mengenal pasti sumber makanan yang menyokong kehidupan makhluk asing tapi berbahaya untuk manusia
- Kehidupan di planet lain mungkin bergantung pada sumber tenaga berbeza seperti radiasi kosmik yang membawa maut kepada manusia
- Sinar kosmik galaksi berpotensi menyokong kehidupan melalui radiolisis, pemecahan molekul air yang menghasilkan bahan api untuk kehidupan
- Penemuan ini mengubah cara manusia menilai kemungkinan kewujudan kehidupan, dengan mempertimbangkan tempat yang gelap dan sejuk asalkan ada air dan terdedah kepada sinar kosmik
- Kajian ini menyimpulkan Enceladus, salah satu bulan Musytari, mempunyai potensi tertinggi untuk menyokong kehidupan berdasarkan simulasi penghasilan elektron dan pengetahuan tentang ekstremofil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

