Hidup jimat cermat buka jalan kebebasan kewangan

Rebecca Goodwill (gambar kecil) berkata, Covid-19 menjadi titik perubahan untuk dia kurang berbelanja dan lebih banyak menyimpan.
Rebecca Goodwill (gambar kecil) berkata, Covid-19 menjadi titik perubahan untuk dia kurang berbelanja dan lebih banyak menyimpan.
A
A
A

SEMASA pandemik Covid-19 ketika orang ramai panik membeli kertas tandas dan cecair pembasmi kuman, ramai juga sebenarnya mula meninggalkan gaya hidup materialistik.

Bagi Rebecca Goodwill, seorang penulis kewangan peribadi berusia 35 tahun yang berpangkalan di Norfolk, England, krisis kesihatan global itu menjadi titik perubahan untuk dia kurang berbelanja dan lebih banyak menyimpan.

Sejak 2021, dia berjaya menyimpan dan melabur purata £2,000 (kira-kira RM10,990) sebulan. Disiplin itu ternyata berbaloi apabila hari ini, dia menganggarkan jumlah pelaburannya mencecah setengah juta pound (RM2.7 juta).

Ketika Goodwill masih bekerja dalam rutin makan gaji 9 pagi hingga 5 petang, berbelanja besar untuk pakaian adalah perkara biasa dan tabiat yang terbawa-bawa sejak zaman dia belajar dalam bidang komunikasi fesyen.

“Setiap musim, mesti tukar almari pakaian sepenuhnya,” katanya.

“Memang sangat meletihkan.”

Fasa-fasa kehidupan juga memainkan peranan. Goodwill perasan perbelanjaannya sering meningkat semasa detik penting dalam hidup, yang menyebabkan banyak keputusan kewangan dibuat secara emosi, bukannya rasional.

Kini, Goodwill telah banyak mengurangkan perbelanjaan untuk pakaian, hiasan rumah dan juga langganan TV. Minimalisme, katanya, adalah kunci.

“Hidup saya sekarang, dari luar, nampak jauh lebih ringkas. Saya tak lagi takut untuk ulang pakai pakaian yang sama.”

Artikel Berkaitan:

Dengan kemahiran kewangan yang dipelajarinya sendiri sebelum ini, Goodwill pada mulanya menyangka wangnya akan berkembang dengan cepat selepas mengetahui bahawa kepelbagaian pelaburan adalah cara orang kaya kekal kaya.

Namun realitinya, ia bukan jalan pintas untuk cepat kaya.

“Kalau kita bermula dengan modal yang kecil, dan kita letakkan wang itu di terlalu banyak tempat, sebenarnya setiap satu ‘bekas’ tu tak cukup besar untuk berkembang,” jelasnya.

Trend lebih luas

Menurut satu kajian terkini PwC, generasi Z dan milenial kini semakin mengutamakan perbelanjaan berhemah dengan membuat pembelian yang lebih bermakna.

Kajian itu mendapati 51 peratus Gen Z yang ditinjau mengurangkan perbelanjaan makan di luar atau membeli makanan bungkus.

Seorang penasihat kewangan, Natalie Scott berkata, dengan kurang berbelanjan boleh membantu mencapai matlamat simpanan dalam jangka pendek, tetapi penyelesaian jangka panjang adalah dengan mempelajari kemahiran baharu.

“Sebagai golongan muda, kita perlu mula tingkatkan kemahiran dan sasarkan pekerjaan yang bergaji lebih tinggi, kerana itu saja cara untuk kita menewaskan inflasi.

“Dengan belanja berhemah dalam jangka pendek ini, kita sebenarnya sedang membina disiplin menangguhkan kepuasan, dan menguatkan ‘otot’ kesabaran itu," katanya.

Ringkasan AI

  • Semasa pandemik Covid-19, ramai mula meninggalkan gaya hidup materialistik
  • Rebecca Goodwill berjaya menyimpan dan melabur purata £2,000 sebulan sejak 2021
  • Dia banyak mengurangkan perbelanjaan untuk pakaian dan langganan TV, menganut minimalisme
  • Kajian PwC mendapati generasi Z dan milenial mengutamakan perbelanjaan bermakna dan berhemah
  • Kurang berbelanja dianggap sebagai langkah untuk mencapai matlamat simpanan dan membangun disiplin menangguhkan kepuasan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!