Tabiat minum kopi, makanan bergoreng didakwa punca hutan gondol

Hasan Nasbi.- Agensi
Hasan Nasbi.- Agensi
A
A
A

JAKARTA– Kenyataan bekas Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Hasan Nasbi, menjadi tumpuan ramai selepas mendakwa bahawa tabiat masyarakat yang gemar meminum kopi dan makan makanan digoreng turut menyumbang kepada kemusnahan hutan.

Hasan membuat kenyataan itu dalam satu video yang dimuat naik di saluran YouTube peribadinya pada Sabtu, 13 Disember 2025, ketika menegaskan bahawa isu penebangan hutan tidak boleh dilihat secara 'mudah dan hitam-putih'.

Menurut beliau, sebahagian kawasan hutan telah bertukar fungsi menjadi kebun kopi atau ladang kelapa sawit, sejajar dengan tingginya penggunaan kopi dan makanan digoreng dalam kalangan masyarakat.

“Selagi kita masih gemar minum kopi, ada hutan yang bertukar menjadi kebun kopi. Kita makan makanan digoreng, ada hutan yang bertukar menjadi ladang kelapa sawit,” kata Hasan dalam video tersebut.

Beliau turut menekankan penggunaan cawan kopi daripada logam, yang bahan asasnya diperoleh daripada aktiviti perlombongan, yang turut memberi kesan terhadap alam sekitar.

Kenyataan Hasan Nasbi itu menjadi tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan hangat.

Ramai netizen berpendapat kenyataannya seolah-olah menyalahkan pengguna individu atas kerosakan alam sekitar, sedangkan isu penggundulan hutan sebenarnya lebih kompleks, melibatkan dasar pengurusan tanah, pengembangan industri dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar.

Bagaimanapun, sebahagian pihak melihat kenyataan itu sebagai satu seruan refleksi mengenai hubungan antara tabiat penggunaan masyarakat dan impaknya terhadap alam sekitar.- Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kenyataan bekas Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Hasan Nasbi, mendakwa tabiat meminum kopi dan makan makanan goreng menyumbang kepada kemusnahan hutan
  • Hasan membuat kenyataan di YouTube, menegaskan isu penebangan hutan tidak boleh dilihat secara 'mudah dan hitam-putih'.
  • Menurutnya, kawasan hutan bertukar fungsi menjadi kebun kopi atau ladang kelapa sawit akibat tingginya penggunaan kopi dan makanan digoreng
  • Beliau turut menekankan pengaruh penggunaan cawan kopi logam yang bahan asasnya dari perlombongan terhadap alam sekitar
  • Kenyataan Hasan Nasbi mencetuskan perdebatan di media sosial, dengan beberapa netizen menyalahkan kebijakan dan pengurusan industri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!