'Saya malu jadi Presiden jika rakyat terus miskin' - Prabowo

Prabowo Subianto - Foto: AFP
Prabowo Subianto - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengakui berasa malu untuk terus memegang jawatan sekiranya rakyat negaranya masih dibelenggu kemiskinan.

Menurut laporan detikFinance, Prabowo menegaskan bahawa matlamat utama beliau menjadi Presiden adalah untuk memastikan seluruh rakyat Indonesia menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.

"Saya mahu menjadi Presiden untuk melihat rakyat saya hidup sejahtera. Saya tidak mahu menjadi Presiden jika rakyat saya terus miskin.

"Saya malu. Lebih baik saya tidak menjadi Presiden," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penyelarasan Nasional Pasukan Percepatan Akses Kewangan Wilayah (TPAKD) 2026 di Jakarta pada Khamis.

Beliau menegaskan kejayaan sesebuah kerajaan tidak seharusnya diukur melalui angka pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan kuasa beli rakyat.

"Makna sebenar kesejahteraan ialah pendapatan rakyat mesti meningkat secara nyata. Setiap keluarga perlu mempunyai kuasa beli yang kukuh," katanya.

Prabowo turut mengumumkan tumpuan kerajaan untuk memperkukuh ekonomi di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, pembangunan ekonomi tidak boleh hanya tertumpu kepada golongan atasan, tetapi perlu dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk petani, nelayan, peniaga dan pengusaha kecil.

Beliau turut memberi jaminan kepada gabenor serta ketua daerah bahawa peruntukan kerajaan pusat kepada wilayah akan terus diperkukuh bagi merancakkan pembangunan setempat.

Artikel Berkaitan:

Prabowo berkata, kebanggaan sebenar seseorang pemimpin adalah apabila rakyat yang dipimpinnya dapat menikmati kehidupan lebih baik. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!