Kos sewa tinggi cabaran bantu asnaf bandar - LZS

Syed Anwar (empat dari kiri), Ambrin (lima dari kiri) dan Mohd Khaidzir (enam dari kiri) bergambar kenangan sempena Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) pada Selasa.
Syed Anwar (empat dari kiri), Ambrin (lima dari kiri) dan Mohd Khaidzir (enam dari kiri) bergambar kenangan sempena Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kos sewaan rumah semakin tinggi di Lembah Klang memberi tekanan besar kepada golongan miskin bandar, sekali gus menjadi cabaran utama dalam usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni asnaf fakir dan miskin di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, kebanyakan kadar sewa rumah di kawasan bandar kini melebih RM1,000 sebulan, sedangkan institusi itu hanya mampu menyalurkan bantuan sewa rumah maksimum RM800 sebulan.

"LZS tidak mampu menyokong keseluruhan kos sewaan rumah yang terlalu tinggi kerana bantuan kita ada hadnya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang.

Mohd Khaidzir berkata, isu kemiskinan di Selangor kini lebih tertumpu kepada golongan miskin bandar khususnya di tiga daerah iaitu Petaling, Klang dan Gombak yang mencatatkan jumlah asnaf tertinggi.

Sehubungan itu katanya, bantuan sewa rumah kekal antara bantuan asas utama selain makanan dan bantuan kewangan bulanan, namun ia perlu diimbangi dengan usaha membantu asnaf keluar daripada kitaran kemiskinan.

“Kita nasihatkan asnaf supaya berusaha mendapatkan pekerjaan secepat mungkin kerana matlamat kita bukan sekadar beri bantuan, tetapi membantu mereka berdikari," ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, LZS memerlukan tambahan lebih RM300 juta bagi memastikan komitmen agihan zakat berjumlah RM1.328 bilion dapat dipenuhi khususnya bagi menyantuni penerima asnaf menjelang hujung tahun ini.

Jelas beliau, daripada keseluruhan bajet tahunan itu, unjuran perbelanjaan mencecah kira-kira RM1.3 bilion kerana kebanyakan bantuan bersifat berterusan seperti sewa rumah, pendidikan dan komitmen kontrak yang telah ditetapkan lebih awal.

Artikel Berkaitan:

“Zakat ini afdalnya bila terima, kita terus salurkan, tetapi ada bantuan yang kita peruntukkan awal kerana komitmen tahunan, sedangkan kutipan masuk berperingkat.

"Sebab itu kita perlu sentiasa mengejar kutipan untuk menampung komitmen agihan," jelasnya.

Sehubungan itu katanya, LZS menyasarkan untuk menyantuni 80,000 ketua keluarga asnaf dengan setakat ini seramai 77,000 ketua keluarga sudah menerima bantuan pada tahun ini.

Katanya, kekangan kewangan menyebabkan ada penerima hanya menerima satu bentuk bantuan terlebih dahulu walaupun layak untuk lebih daripada itu.

“Bila dana mencukupi nanti, Insya-ALLAH kita akan tambah bantuan lain," ujar beliau.

Mengenai wakalah zakat, Mohd Khaidzir berkata, semua syarikat korporat layak memohon tertakluk kepada jumlah bayaran zakat dengan kadar wakalah boleh mencecah sehingga 50 peratus bagi bayaran melebihi RM1 juta.

“Namun wakalah ini datang dengan tanggungjawab, ia mesti disalurkan kepada asnaf mengikut hukum zakat dan bukan digunakan sewenang-wenangnya," tambah beliau.

 

 

Ringkasan AI

  • Kos sewaan rumah semakin tinggi di Lembah Klang memberi tekanan kepada golongan miskin bandar
  • Lembaga Zakat Selangor hanya mampu menyalurkan bantuan sewa rumah maksimum RM800 sebulan
  • Isu kemiskinan di Selangor lebih tertumpu kepada golongan miskin bandar di Petaling, Klang dan Gombak
  • LZS memerlukan tambahan lebih RM300 juta untuk memenuhi komitmen agihan zakat
  • LZS menyasarkan untuk menyantuni 80,000 ketua keluarga asnaf dengan 77,000 telah menerima bantuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!