[VIDEO] 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari

A
A
A

MELAKA - Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman mendedahkan, seramai 3,000 pelajar di negeri ini didapati ponteng sekolah setiap hari.

Beliau berkata, isu ponteng sekolah bukan hanya berlaku di Melaka, malah turut dihadapi oleh semua negeri di seluruh negara menjadikan ia satu gejala membimbangkan yang boleh menjejaskan masa depan pendidikan pelajar.

Menurutnya, antara punca utama pelajar ponteng sekolah ialah sikap malas, kurang pemantauan ibu bapa, faktor ekonomi khususnya pelajar sekolah menengah yang bekerja sambilan.

“Selain itu ada pelajar yang memberi alasan sakit atau demam, namun tidak disertakan surat atau sijil cuti sakit kepada pihak sekolah.

“Ada kes ponteng sekolah yang berlarutan sehingga sebulan, malah ada yang mencecah dua bulan walaupun secara berjarak-jarak.

"Ini merupakan satu gejala tidak sihat kerana pelajar akan tercicir dan ketinggalan dalam pendidikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Melaka Kali Ke-28 di Auditorium Masjid Al-Azim, pada Selasa.

Rahmad (tengah) menyempurnakan majlis perasmian.
Rahmad (tengah) menyempurnakan majlis perasmian.

Disebabkan itu katanya, Melaka telah mengambil inisiatif Konvensyen Pendidikan Negeri Melaka yang membincangkan langkah mengatasi masalah pelajar, termasuk isu ponteng sekolah.

Artikel Berkaitan:

Rahmad berkata, sebanyak 10 resolusi dibentangkan untuk dibawa ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

“Antara cadangan utama bagi mengatasi isu ponteng ialah menarik kelayakan pelajar daripada menerima sebarang bantuan kerajaan seperti Bantuan Awal Persekolahan, biasiswa, dermasiswa dan bantuan pendidikan lain.

“Kita berpandangan pelajar yang ponteng sekolah sehingga 30 hari setahun menunjukkan kurang minat untuk belajar. Penarikan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat memberi peringatan kepada mereka dan ibu bapa tentang kepentingan kehadiran ke sekolah,” katanya.

Selain itu, Rahmad berkata kerajaan negeri turut mencadangkan supaya ibu bapa kepada pelajar yang ponteng sekolah secara berterusan dikenakan tindakan perundangan kerana gagal memantau kehadiran anak-anak ke sekolah.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa cadangan tersebut masih di peringkat resolusi dan belum dilaksanakan, sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak kementerian.

“Prosedur sedia ada ketika ini melibatkan penghantaran notis amaran kepada ibu bapa dan tindakan penggantungan sekolah sekiranya ponteng berlarutan tanpa alasan munasabah,” katanya.

Untuk rekod, Melaka mempunyai seramai kira-kira 161,000 pelajar dan lebih 16,000 guru di seluruh negeri, tidak termasuk pelajar tadika dan prasekolah.

Ringkasan AI

  • Seramai 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari
  • Isu ponteng sekolah dianggap gejala membimbangkan yang boleh menjejaskan masa depan pendidikan pelajar
  • Punca utama termasuk sikap malas, kurang pemantauan ibu bapa dan faktor ekonomi
  • Konvensyen Pendidikan Negeri Melaka membincangkan langkah mengatasi masalah ponteng sekolah
  • Cadangan utama termasuk menarik kelayakan pelajar daripada menerima bantuan kerajaan jika ponteng sekolah sehingga 30 hari setahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!