ICC tolak rayuan Israel, sokong siasatan jenayah perang di Gaza

ICC menolak rayuan Israel terhadap kesahihan siasatan mahkamah itu berhubung jenayah perang yang dilakukan di Gaza selepas Oktober 2023.
ICC menolak rayuan Israel terhadap kesahihan siasatan mahkamah itu berhubung jenayah perang yang dilakukan di Gaza selepas Oktober 2023.
A
A
A

LONDON - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) melalui kamar rayuannya menolak rayuan Israel terhadap kesahihan siasatan mahkamah itu berhubung jenayah perang yang dilakukan di Gaza selepas Oktober 2023, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam penghakiman yang dikeluarkan pada Isnin, barisan hakim mengesahkan keputusan terdahulu kamar pra-perbicaraan, dengan memutuskan bahawa tiada "situasi baharu” yang memerlukan pendakwa raya memulakan semula proses atau mengeluarkan notis baharu kepada Israel.

Kamar rayuan memutuskan yang siasatan sejak Oktober 2023 melibatkan "jenis konflik bersenjata yang sama, wilayah yang sama serta pihak sama yang didakwa terlibat dalam konflik” seperti disiasat dalam kes Palestin yang berlarutan sekian lama.

Israel berhujah yang skala konflik selepas 7 Oktober menandakan perubahan asas yang mencetuskan kewajipan undang-undang baharu di bawah Artikel 18 Statut Rom.

Hakim menolak dakwaan itu, dengan menyimpulkan bahawa "tiada perubahan besar terhadap parameter siasatan yang memerlukan notis baharu telah berlaku.”

Mahkamah menyatakan siasatan asal yang dibuka pada 2021 merangkumi jenayah perang yang dilakukan "sejak 13 Jun 2014, tanpa tarikh tamat.”

Keputusan itu mengukuhkan asas undang-undang bagi waran tangkap yang dikeluarkan pada November 2024 terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant, yang dituduh melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel menolak bidang kuasa ICC.

Sekalipun hakim menyatakan yang keputusan itu "tidak menjejaskan, dalam apa jua cara, keupayaan negara-negara… untuk membangkitkan isu kes boleh diterima,” penghakiman itu menyingkirkan satu halangan prosedur utama terhadap kesinambungan siasatan berkaitan Gaza.

Artikel Berkaitan:

Hampir 70,700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 171,100 yang lain cedera dalam serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023, yang berterusan walaupun terdapat gencatan senjata.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, keadaan kehidupan di Gaza tidak bertambah baik, apabila Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan trak bantuan, sekali gus melanggar protokol kemanusiaan perjanjian itu. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Mahkamah Jenayah Antarabangsa menolak rayuan Israel dan mengekalkan kesahihan siasatan jenayah perang di Gaza selepas Oktober 2023
  • Keputusan itu mengesahkan bahawa tiada perubahan besar dalam konflik yang memerlukan notis baharu kepada Israel
  • Siasatan mencakupi jenayah perang sejak 13 Jun 2014, tanpa tarikh tamat
  • Keputusan mengukuhkan asas undang-undang bagi waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel dan bekas Menteri Pertahanan
  • Hampir 70,700 orang cedera dalam serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023, keadaan bertambah buruk walaupun adanya gencatan senjata

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!