Serangan Israel terhadap Hamas di Doha gugat diplomasi Teluk

KONFLIK Israel–Qatar tercetus secara terbuka pada 9 September lalu apabila Israel melancarkan serangan udara di Doha yang menyasarkan kepimpinan politik Hamas.
Serangan berkenaan mengorbankan enam orang termasuk seorang pegawai keselamatan Qatar, namun barisan utama pimpinan Hamas dilaporkan terselamat.
Serangan itu mencatat sejarah hitam kerana ia merupakan kali pertama Israel menyerang secara langsung sebuah negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Doha bukan sahaja sekutu rapat Amerika Syarikat (AS), malah menjadi tuan rumah kepada pangkalan udara terbesar AS di rantau Teluk, Al Udeid.
Punca ketegangan berakar daripada peranan Qatar sebagai tuan rumah pejabat politik Hamas sejak 2012. Keputusan itu dibuat atas permintaan Washington untuk membuka saluran komunikasi tidak langsung dengan Hamas.

Selepas perang Gaza 2023, Doha memainkan peranan besar sebagai perantara. Malah, Qatar berjaya memeterai dua gencatan senjata dan membebaskan 148 tebusan, menjadikan saluran diplomasi negara itu penting kepada rundingan.
Bagaimanapun, tindakan Israel membedil ibu negara Qatar dianggap langkah yang membakar saluran diplomatik tersebut.
Motif segera Israel adalah cubaan membunuh kepimpinan Hamas yang berkumpul serentak di Doha, tetapi operasi itu gagal mencapai sasaran.
Media Israel melaporkan, Ketua Mossad turut menyuarakan bantahan terhadap operasi tersebut kerana ia memberi kesan buruk kepada rundingan tebusan. Namun, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkeras dan memberi isyarat kemungkinan serangan susulan.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, mengecam tindakan Israel sebagai pengkhianatan dan keganasan negara. Beliau menegaskan, serangan itu membunuh harapan pembebasan tebusan serta menggugat keselamatan rantau.
Arab Saudi menyifatkan tindakan Israel sebagai pencerobohan jenayah yang melanggar undang-undang antarabangsa dan menuntut respon kolektif Arab-Islam. UAE pula memanggil Timbalan Duta Israel untuk menyampaikan bantahan rasmi.
Turki melalui Presidennya, Recep Tayyip Erdoğan menyifatkan serangan itu sebagai keganasan negara dan berikrar menyelaras langkah bersama Doha. Iran juga mengeluarkan kecaman keras.
Dalam blok Eropah, United Kingdom, Perancis dan Jerman mengeluarkan kenyataan bersama mengecam serangan tersebut sebagai pelanggaran kedaulatan Qatar. UK menegaskan serangan itu jelas melanggar integriti wilayah sebuah negara berdaulat. Presiden Perancis, Emmanuel Macron, turut menyatakan kepada Emir Qatar bahawa serangan itu tidak dapat diterima sambil menegaskan komitmen Paris terhadap keselamatan Doha.
Di New York, Perhimpunan Agung PBB meluluskan deklarasi menyokong penyelesaian dua negara dengan majoriti besar. Walaupun tidak mengikat, undian itu menunjukkan tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin memuncak selepas serangan di Doha.
AS pula berada dalam kedudukan serba sulit. Setiausaha Negara, Marco Rubio dijadual ke Israel bagi memulihkan kembali kepercayaan sekutu Teluk dan menyelamatkan rundingan tebusan. Namun, serangan ke atas sebuah negara tuan rumah pangkalan AS mencetuskan keraguan Teluk terhadap kredibiliti Washington.
Dari sudut undang-undang antarabangsa, serangan Israel di Doha menimbulkan persoalan besar berkaitan kedaulatan, keperluan dan perkadaran. Wacana ini kini dijadikan modal diplomatik oleh Qatar. Beberapa penganalisis berpandangan, tindakan tersebut menghakis keyakinan GCC terhadap payung keselamatan AS dan menjejaskan prospek normalisasi Israel–Arab secara lebih luas.
Qatar tidak memiliki banyak pilihan balas ketenteraan. Namun, kelebihan utamanya ialah peranan sebagai perantara. Doha kini boleh memilih untuk memperketat atau menggantung saluran diplomasi sebagai tekanan terhadap Israel dan sekutunya.
Sementara itu, di Israel sendiri, pengkritik menyatakan operasi Doha gagal mencapai objektif dan hanya menjejaskan rundingan tebusan, selain membuka front diplomatik baharu dengan negara Teluk.
Di Gaza, operasi Israel berterusan dengan jumlah korban meningkat. Qatar menegaskan, serangan ke atas ibu negaranya semakin melemahkan usaha mencari jalan keluar diplomatik.
Eropah buat masa ini bersatu dalam kecaman terhadap Israel, namun tetap berhati-hati agar tidak menjejaskan saluran mediasi yang dikuasai Doha. Garis besar pendirian mereka ialah menolak pelanggaran kedaulatan, mempertahan peranan Qatar dan mendesak kembali ke meja rundingan.
Ringkasan AI
- Konflik Israel-Qatar pecah dengan serangan udara Israel di Doha pada 9 September yang menyasar kepimpinan Hamas
- Serangan tersebut merupakan yang pertama kali Israel menyerang secara langsung negara anggota GCC
- Punca ketegangan adalah peranan Qatar sebagai tuan rumah pejabat politik Hamas sejak 2012 atas permintaan Washington
- Israel bertujuan membunuh kepimpinan Hamas yang berkumpul di Doha namun gagal mencapai sasaran
- Tindakan Israel disifatkan sebagai pencerobohan jenayah oleh Arab Saudi sementara negara-negara Eropah mengecam pelanggaran kedaulatan Qatar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

