Wabak rabies gusarkan tentera Israel

Tentera Israel bersama anjing.- Gambar hiasan
Tentera Israel bersama anjing.- Gambar hiasan
A
A
A

TEL AVIV – Puluhan anggota tentera Israel dilaporkan menerima rawatan rabies selepas terdedah kepada seekor anak anjing jalanan yang disahkan dijangkiti virus berbahaya itu sebelum mati.

Menurut laporan, anggota daripada Briged Shomron tentera Israel yang ditempatkan di Tebing Barat diduduki antara mereka yang kini menjalani rawatan pencegahan rabies selepas memelihara anak anjing berkenaan selama beberapa hari tanpa menyedari ia membawa jangkitan.

Rabies merupakan penyakit yang menyerang sistem saraf dan hampir pasti membawa maut sekiranya tidak dirawat segera.

Akhbar berbahasa Ibrani, Ma’ariv melaporkan bahawa haiwan itu mula menunjukkan simptom serius termasuk sawan teruk sebelum mati, sekali gus mencetuskan tindakan perubatan kecemasan terhadap anggota yang terdedah.

Tentera Israel mengesahkan kira-kira 20 anggota telah dihantar ke klinik kesihatan dan hospital bagi menjalani pemeriksaan serta menerima suntikan vaksin rabies selepas didapati mempunyai kontak langsung dengan anjing tersebut.

Menurut kenyataan rasmi, beberapa anggota lain turut dirujuk untuk pemeriksaan lanjut sekiranya diperlukan.

Hasil siasatan dalaman mendapati anak anjing itu dibawa masuk ke kawasan kem oleh seorang anggota wanita dari kawasan ladang berhampiran.

Susulan kejadian tersebut, pihak tentera memaklumkan bahawa semua anggota yang mengendalikan haiwan di ibu pejabat briged akan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kempen kesedaran berkaitan risiko penyakit zoonotik dan kawalan haiwan juga sedang dilaksanakan dalam unit berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan Israel pula mengesahkan seramai 27 individu dikenal pasti mempunyai hubungan langsung dengan anak anjing yang dijangkiti dan rawatan pencegahan selepas pendedahan telah diberikan bagi mengelakkan jangkitan membawa maut.

Antara simptom rabies termasuk demam, ketakutan melampau terhadap air (hidrofobia) serta gangguan neurologi yang serius.

Insiden ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kebersihan dan kawalan haiwan di kem tentera, khususnya di kawasan yang mempunyai haiwan jalanan berpopulasi tinggi.

Pengkritik turut menyifatkan kejadian itu sebagai ironi apabila anggota tentera terlatih tinggi terdedah kepada risiko yang boleh dicegah, sedangkan unit anjing tentera sering digunakan dalam operasi agresif terhadap penduduk awam Palestin.- Agensi

Ringkasan AI

  • Puluhan anggota tentera Israel menjalani rawatan rabies selepas terdedah kepada seekor anak anjing jalanan yang dijangkiti
  • Anggota dari Briged Shomron di Tebing Barat terlibat dalam memelihara anak anjing tersebut tanpa menyedari jangkitannya
  • Rabies adalah penyakit mematikan yang menyerang sistem saraf
  • Kira-kira 20 anggota telah dihantar ke klinik dan hospital untuk pemeriksaan dan vaksin rabies
  • Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan 27 individu mempunyai hubungan langsung dengan anak anjing tersebut dan rawatan pencegahan telah diberikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!