Cubaan seludup dua spesies ungka RM6,000 ke India gagal

SEPANG - Cubaan menyeludup dua spesies ungka melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini digagalkan selepas pemeriksaan bagasi mengesan imej mencurigakan pada Ahad.
Operasi dijalankan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasam Polis Bantuan KLIA Terminal 1 dan pegawai keselamatan syarikat penerbangan.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan bagasi itu dijalankan kira-kira jam 8 malam.

"Pemeriksaan lanjut menemui dua ekor ungka bernilai RM6,000 yang disorokkan dalam bagasi.
"Anggota operasi telah menahan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambahnya, dipercayai wanita itu akan berlepas menaiki pesawat ke Mumbai, India pada jam 7.50 petang.
Tegasnya, wanita terbabit telah dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
"Barang kes yang disita telah dibawa ke Pejabat Perhilitan KLIA untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Ringkasan AI
- Cubaan menyeludup dua spesies ungka melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur digagalkan
- Operasi dijalankan dengan kerjasama Perhilitan dan Polis Bantuan KLIA Terminal 1
- Pemeriksaan bagasi pada jam 8 malam mendedahkan dua ekor ungka bernilai RM6,000
- Seorang wanita tempatan berusia 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan
- Wanita itu dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
