Ugut keluar PH, DAP jangan tunjuk taring - Hassan Karim

Hassan (tengah) menyampaikan bantuan kepada Korperal Abdul Halim Nasir, anggota Balai Polis Permas Jaya yang terlibat dalam kemalangan di kediamannya di Bandar Seri Alam pada Isnin.
Hassan (tengah) menyampaikan bantuan kepada Korperal Abdul Halim Nasir, anggota Balai Polis Permas Jaya yang terlibat dalam kemalangan di kediamannya di Bandar Seri Alam pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG – Pendekatan ugutan tidak sepatutnya digunakan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) susulan kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, khususnya apabila tuntutan yang dikemukakan tidak dipenuhi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, tindakan sedemikian adalah satu kesilapan besar dan tidak wajar apabila DAP tewas dalam PRN tersebut lalu menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PKR.

“DAP jangan tunjuk taring, jangan pamer kuku. Kita masih saling memerlukan dalam PH. Tidak manis ugut-ugut walaupun disampaikan dengan bahasa yang lembut.

“DAP adalah sebahagian daripada kerajaan dan turut berada dalam Kabinet. Menteri bukan hanya daripada PKR, UMNO dan Warisan juga ada, begitu juga DAP. Kebetulan Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Jika berlaku kekalahan, ia tanggungjawab bersama. Jangan kalah di Sabah lalu menyalahkan Perdana Menteri. Itu tidak adil. PKR juga kalah, jadi jangan cari alasan untuk keluar PH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas menyampaikan bantuan kepada Korperal Abdul Halim Nasir Abd Jamil, anggota Balai Polis Permas Jaya yang terlibat dalam kemalangan, di kediamannya di Bandar Seri Alam, di sini pada Isnin.

Hassan turut mengingatkan DAP supaya tidak memperlakukan PH seperti peribahasa ‘habis madu sepah dibuang’ dengan meninggalkan gabungan itu selepas meramalkan PH sukar menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Menurutnya, DAP mempunyai rekod pernah beberapa kali keluar daripada gabungan politik bersama PKR dan parti lain sebelum ini apabila gabungan tersebut gagal membentuk kerajaan.

"Sebagai contoh, ketika DAP bergabung dengan Semangat 46 dan parti pembangkang lain dalam Gagasan Rakyat pada pilihan raya umum 1990 dan 1995, kedua-duanya kalah dan DAP meninggalkan gabungan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Itu kali pertama DAP keluar dan meninggalkan Tunku Razaleigh Hamzah (Presiden Semangat 46). Kali kedua ketika Barisan Alternatif (BA) ditubuhkan semasa Anwar dipenjarakan pada 1998. Apabila tidak menang dalam pilihan raya 1999 dan 2004, DAP keluar BA, manakala PKR kekal,” katanya.

Beliau menambah, pada pilihan raya 2008 pembangkang menang besar di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Selangor, dan sehingga 2013 Pakatan Rakyat masih wujud, namun gagal membentuk kerajaan Persekutuan.

“Selepas itu DAP keluar Pakatan Rakyat sebelum parti-parti pembangkang menubuhkan PH pada 2015. DAP menyertai PH apabila melihat peluang untuk menang.

“Mula-mula bergaduh dengan Semangat 46, kemudian berselisih dengan Pas. Pada 2018, apabila nampak peluang, DAP menyertai kerajaan dan Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

“Pada 2022, sekali lagi melihat peluang dan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri. Tetapi sekarang mungkin melihat PRU16 sukar dimenangi, lalu mahu meninggalkan PH. Orang Melayu kata, habis madu sepah dibuang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan DAP supaya tidak membuat kesilapan besar dengan meninggalkan PH.

“Kita tidak akan lupa, sepanjang bersama-sama daripada BA hingga PH. Sekarang parti yang tulen dalam PH ialah PKR. Kalau nak jadi kerajaan yang berbilang kaum mesti bersama-sama PH dan PKR.

“Kalau DAP salah tangani isu ini, jangan salah nanti kekuasaan negara ini dikuasai gabungan parti-parti Melayu keseluruhannya dan DAP akan jadi pembangkang, tiada peranan apa-apa,” katanya.

Justeru kata beliau, sekiranya tidak mahu itu berlaku, DAP perlu bersama-sama PKR menyelesaikan masalah dengan mengadakan mesyuarat dan bukan dengan ugutan.

Dalam PRN Sabah yang berlangsung 29 November lalu, PH mengalami kekalahan teruk apabila memenangi hanya satu kerusi di sebalik pelbagai strategi dan kerjasama yang dijalin dengan parti lain.

Satu-satunya kerusi yang dimenangi PH ialah Melalap melalui calon PKR, Jamawi Ja'afar. DAP pula kalah di semua lapan kerusi yang ditandingi.

Reaksi segera yang ditunjukkan DAP hasil keputusan di Sabah itu antara lain ialah memberi kata dua kepada kerajaan pimpinan Pengerusi PH, Anwar agar segera melaksanakan pembaharuan institusi.

DAP memberikan tempoh enam bulan kepada Putrajaya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, jika sehingga tarikh akhir itu perubahan yang dituntut tidak dipenuhi, parti itu akan mempertimbangkan semula kedudukannya dalam Kabinet, namun tetap terus menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ringkasan AI

  • Pendekatan ugutan oleh mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah tidak sesuai
  • Ahli Parlimen Pasir Gudang menyarankan DAP tidak sepatutnya menyalahkan Perdana Menteri apabila menghadapi kekalahan dalam PRN Sabah
  • Hassan Abdul Karim mengingatkan bahawa kekalahan merupakan tanggungjawab bersama dalam PH dan bukan hanya boleh ditimpakan kepada individu tertentu
  • Beliau juga menyentuh tentang sejarah DAP meninggalkan gabungan politik ketika menghadapi kekalahan dalam pilihan raya sebelum ini
  • DAP diberi nasihat untuk tidak membuat kesilapan dengan meninggalkan PH dan disarankan untuk bersama-sama menyelesaikan masalah melalui dialog dan bukannya ugutan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!