DAP tak perlu 'import' ahli parti lain untuk tambah angka keahlian - Syahredzan

Syahredzan
Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - DAP tidak pernah ghairah mencari ahli semata-mata untuk menambah angka keahlian meskipun penyertaan orang ramai ke dalam parti itu dialu-alukan.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, usaha parti menarik lebih ramai ahli pelbagai bangsa termasuk masyarakat Melayu tidak akan dilaksanakan secara terburu-buru atau menggadaikan prinsip parti.

"Ia tidak akan dilaksanakan dengan membawa masuk ahli parti lain yang kecewa dengan pergolakan dalam parti mereka dan kini mencari dahan baru untuk berpaut.

"Walaupun secara amnya penyertaan mana-mana rakyat Malaysia ke dalam DAP adalah dialu-alukan, namun DAP tidak pernah ghairah untuk mencari ahli semata-mata untuk menambah angka keahlian," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin dilapor mendakwa, beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor bertemu dengannya bagi menyatakan hasrat menyertai DAP.

Menurut Muhammad Najmi, penyertaan itu dialu-alukan sekiranya dibuat secara ikhlas dan berpandukan kefahaman jelas terhadap hala tuju parti.

Rentetan itu Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong dalam respons menjelaskan, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) tidak pernah memberi sebarang mandat atau kuasa kepada mana-mana individu untuk mewakili parti untuk mengadakan perbincangan politik, rundingan kerjasama atau hubungan dengan Bersatu atau mana-mana pemimpinnya.

Dalam pada itu Syahredzan menegaskan, kemasukan ahli Melayu telah berlaku secara organik dan cermat selain proses itu berlaku secara berterusan.

"Kini DAP mempunyai pemimpin Melayu di semua lapisan termasuk yang menjawat jawatan sebagai wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung mahupun pemimpin akar umbi.

Artikel Berkaitan:

"Yang paling penting ahli DAP tidak kira bangsa atau agama, harus menghayati perjuangan parti dan berjuang demi negara untuk rakyat Malaysia," ujarnya.

Ringkasan AI

  • DAP tidak mencari ahli semata-mata untuk menambah angka keahlian
  • Usaha menarik ahli pelbagai bangsa dilakukan tanpa terburu-buru dan tanpa menggadaikan prinsip
  • Penyertaan ahli lain ke dalam DAP dilakukan secara ikhlas dan berdasarkan kefahaman terhadap hala tuju parti
  • Kemasukan ahli Melayu ke dalam DAP berlaku secara organik dan berterusan
  • DAP mempunyai pemimpin Melayu di semua lapisan, mewajibkan penghayatan perjuangan parti demi rakyat Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!