Proses nyah cemar seluruh negara bermula Isnin

Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja nyahcemar di tiga pasaraya di Simpang Renggam dekat Kluang malam tadi. - Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja nyahcemar di tiga pasaraya di Simpang Renggam dekat Kluang malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengumumkan operasi nyah cemar bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) terutama di kawasan tumpuan awam akan dilaksanakan mulai esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi proses tersebut, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskannya di setiap negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Operasi nyah cemar ini menumpukan kawasan berisiko tinggi iaitu kawasan tumpuan awam dan kemudiannya akan diperluaskan ke kediaman PPR (Projek Perumahan Rakyat) dan pejabat.

"Setakat semalam (kelmarin), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memulakan dan melaksanakan 11 proses nyah cemar melibatkan 11 pasar dan pada hari ini di Seri Petaling," katanya pada sidang akhbar (non-health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini.

Katanya, dua kawasan di Kluang dan Simpang Renggam, Johor perlu melaksanakan proses nyah cemar dengan kadar segera susulan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 yang memaksa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dilaksanakan.

Sementara itu ditanya mengenai bilakah standard operasi prosedur (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan akan diumumkan, Ismail Sabri berkata, ia perlu mengambil kira pandangan daripada pelbagai kementerian yang terlibat.

"Sebagai contoh apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencadangkan beberapa tempat ditutup atau dihadkan masa, ia melibatkan beberapa kementerian.

"Dalam keadaan ini sudah pasti banyak kilang dicadangkan untuk ditutup operasi mereka namun, perkara ini perlu mengambil kira pandangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana kita takut rantaian keperluan asas rakyat terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan: