Kerajaan digesa buka monopoli benih padi kepada PPN, PPK

Dr Muhaimin
Dr Muhaimin
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil langkah sewajarnya memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam berkata, beberapa cadangan pernah dikemukakan kepada menteri ketika kerajaan terdahulu berkaitan jaminan bekalan makanan negara yang diharap dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan dan dipersetujui adalah membuka monopoli benih padi kepada PPN, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Ini salah satu cara untuk memastikan jaminan makanan kita terpelihara. Benih padi ketika ini dikawal oleh beberapa syarikat dan petani tak ada hak untuk menyediakan benih padi.

"Ketika itu, kita juga bersetuju PPN Perak, PPN Kedah, PPN Selangor dan PPN Pulau Pinang membentuk satu konsortium bagi menyediakan benih padi bagi menggantikan syarikat swasta yang menguasai benih padi itu," katanya.

Dalam pada itu, Muhaimin mengharapkan menteri yang baharu dapat meneruskan cadangan-cadangan baik yang dikemukakan sebelum ini bagi memastikan bekalan makanan negara terjamin selain membantu meningkatkan hasil pendapatan petani.

Menurutnya, PPN dan PPK perlu diberikan hak untuk mengeluarkan benih padi kerana sekitar tahun 70-an petani mengeluarkan sendiri benih padi.

Jelasnya, apabila benih padi dikeluarkan oleh pihak swasta, petani berdepan masalah bekalan, pengedaran dan pengurusan sehingga menyebabkan golongan itu terpaksa menyuarakan bantahan.

Artikel Berkaitan:

Muhaimin berkata, pihaknya juga telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan bagi membenarkan PPN dan PPK mengusahakan tanah-tanah terbiar.

Katanya, kesemua cadangan tersebut harus diteruskan oleh kepimpinan kementerian yang baharu supaya bagi memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Sementara itu, Muhaimin turut mengakui PPN dan PPK kini berdepan kesukaran meneruskan perniagaan mereka susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun katanya, kilang sawit milik PPN meneruskan operasi sedia ada bagi memastikan bekalan minyak masak terus berada di dalam pasaran.