Mesyuarat Khas ASEAN berkaitan ketegangan sempadan Kemboja-Thailand ditangguhkan - PM

Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN untuk menilai perkembangan terkini ketegangan sempadan yang berterusan antara Kemboja dan Thailand telah ditangguhkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kedua-dua negara jiran itu telah meminta sedikit penundaan mesyuarat yang pada asalnya dijadualkan esok.

"Mereka (Kemboja dan Thailand) meminta sedikit penundaan mesyuarat. Oleh itu, kita menangguhkannya bagi memastikan semuanya berjalan dengan teratur.

"Bagaimanapun, kita terus menyeru kedua-dua pihak agar menghentikan sebarang pertikaian. Keadaan kini sangat kritikal, dan saya terus berhubung secara maya dengan mereka setiap hari,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan terkini ketegangan sempadan antara Kemboja dan Thailand.

Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan pelancaran buku The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia di sini, pada Isnin.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan; Fadhlina Sidek; Yang Dipertua Dewan Rakyat; Tan Sri Johari Abdul; Pengerusi IAIS, Prof. Dr. Maszlee Malik dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai.

Mengulas laporan media bahawa Thailand telah mengenakan sekatan laut di Teluk Thailand bagi menghalang bekalan strategik sampai ke Kemboja, Anwar berkata, rundingan sedang dijalankan untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu.

Malaysia sebelum ini menyeru kedua-dua negara agar menghentikan segala bentuk permusuhan dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penempatan tentera bersenjata di barisan hadapan, mulai jam 10 malam, 13 Disember waktu Thailand (11 malam waktu Malaysia).

Anwar berkata, seruan tersebut disampaikan melalui perbualan telefon berasingan dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, susulan perbincangan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, berikutan ketegangan berterusan di sempadan kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Hun Manet dan Anutin Charnvirakul menandatangani perjanjian semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober lepas, yang disaksikan oleh Anwar dan Trump.

Di bawah perjanjian itu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menamatkan permusuhan dan memupuk hubungan kejiranan yang baik antara satu sama lain.

Thailand dan Kemboja telah lama berselisih mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer antara kedua-dua negara. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN tentang ketegangan sempadan antara Kemboja dan Thailand ditangguhkan Kedua-dua negara meminta penundaan mesyuarat yang sepatutnya berlangsung esok Penangguhan bagi memastikan semuanya berjalan dengan teratur Anwar Ibrahim menyeru kedua-dua pihak menghentikan pertikaian dan berhubung secara maya setiap hari Perdana Menteri merasmikan pelancaran buku di IAIS Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!