BGM anjur majlis pelantikan, perkukuh profesionalisme industri pengawal peribadi

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengawal Peribadi Malaysia (BGM) menganjurkan Majlis Pelantikan dan Kerjasama Korporat di Hotel St. Giles Boulevard Kuala Lumpur, sebagai usaha memperkukuhkan profesionalisme dan tadbir urus industri pengawal peribadi negara.
Majlis itu turut melibatkan penyerahan Kad Pengenalan (ID) dan Sijil Keahlian BGM bagi sesi 2025–2027 kepada ahli berdaftar, yang bertujuan mengesahkan status profesional pengamal keselamatan yang terlatih serta mematuhi etika industri.
Menurut BGM dalam satu kenyataan, pengeluaran Kad ID dan sijil keahlian berfungsi sebagai mekanisme pengesahan identiti profesional, selain membantu membezakan pengawal peribadi bertauliah daripada individu tidak berkelayakan.

"Ia berfungsi sebagai pengesahan identiti profesional bagi ahli yang berdaftar, terlatih dan mematuhi etika industri, sekali gus membantu membezakan mereka daripada individu tidak bertauliah," kata kenyataan itu pada Isnin.
Pada majlis sama, BGM melantik beberapa jawatan dan panel strategik termasuk Penasihat Persatuan, Panel Klinik, Panel Guaman, Panel Pembekal Peralatan dan Aksesori Taktikal serta Panel Pusat Penilaian Amali Close Protection Operation (CPO), selaras dengan keperluan semasa industri keselamatan.
"BGM turut membentangkan Pelan Khairat dan Sumbangan Kebajikan Ahli Berdaftar sebagai inisiatif kebajikan bagi menjaga kesejahteraan ahli, khususnya ketika berdepan kecemasan atau musibah," kata kenyataan itu lagi.

Penganjuran majlis itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan disiplin, etika dan integriti dalam profesion pengawal peribadi, di samping menggalakkan kerjasama strategik antara persatuan dan rakan industri.
BGM berkata, langkah berkenaan diharap dapat memperkukuhkan peranan persatuan sebagai badan rujukan utama industri pengawal peribadi di Malaysia, sejajar usaha mempertingkatkan standard profesional dan pembangunan industri keselamatan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
