Sukan SEA: Pearly-Thinaah tamatkan penantian emas satu dekad

GANDINGAN beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah menepati ramalan apabila berjaya menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Sukan SEA bagi acara tersebut selepas mempamerkan aksi cemerlang pada Ahad.
Kejayaan manis di Gimnasium Universiti Thammasat itu hadir selepas pasangan yang menghuni ranking nombor dua dunia berkenaan menewaskan wakil Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari dalam aksi final yang mendebarkan.
Namun, dalam perlawanan penentuan pingat emas itu, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras dan diberikan tentangan sengit oleh lawan yang berada di ranking ke-59 dunia.
Bagaimanapun, pengalaman memihak kepada pasangan negara untuk melakar kemenangan menerusi pertarungan tiga set 21-16, 19-21, 21-17.
Kemenangan dramatik tersebut sekali gus menoktahkan penantian satu dekad kem badminton negara untuk melihat kilauan emas dalam acara beregu wanita di temasya dwitahunan itu.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara berkenaan adalah pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
Kejayaan pada edisi tersebut disumbangkan menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho yang menewaskan pasangan senegara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei di pentas final.
Ringkasan AI
- Gandingan beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah berjaya meraih pingat emas Sukan SEA setelah 10 tahun kemarau
- Pasangan itu menewaskan Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari dari Indonesia dalam pertarungan dramatik
- Pearly-Thinaah, berada di ranking dua dunia, dipaksa berjuang keras menentang lawan ranking ke-59
- Mereka menang menerusi pertarungan tiga set 21-16, 19-21, 21-17
- Ini merupakan pingat emas pertama untuk Malaysia dalam acara beregu wanita di Sukan SEA sejak kali terakhir pada tahun 2015
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
