DPMP gesa kerajaan negeri cari jalan elak bumiputera hilang tanah

Gambar hiasan tanah kampung. Zahar (gambar kecil).
Gambar hiasan tanah kampung. Zahar (gambar kecil).
A
A
A

IPOH – Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP) menggesa kerajaan negeri mencari kaedah terbaik bagi memastikan orang Melayu tidak kehilangan tanah akibat cukai tertunggak susulan pelaksanaan sistem digital yang digunakan ketika ini.

Presidennya, Datuk Zahar Hashim berkata, banyak kes khususnya di luar bandar membabitkan pemilik tanah terlepas pandang dalam membuat bayaran cukai apabila notis tidak lagi dihantar secara fizikal.

Jelas beliau, kebanyakan pemilik tanah di luar bandar merupakan warga emas yang kurang mahir menggunakan sistem digital bagi tujuan pembayaran.

“Kita melihat isu ini perlu ditangani dengan serius kerana ia membabitkan orang Melayu, terutama di kampung-kampung yang masih tidak mengetahui bahawa semakan cukai tanah perlu dibuat secara dalam talian.

“Jika perkara ini tidak dibendung, dibimbangi pegangan tanah milik bumiputera di Perak akan berkurangan kerana ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, Zahar menggesa kerajaan negeri mengarahkan semua Pejabat Daerah dan Tanah di Perak mengambil inisiatif mengesan pemilik tanah yang mempunyai cukai tertunggak bagi memberikan peringatan secara fizikal.

Menurutnya, penjelasan serta pemahaman juga perlu diberikan kepada pemilik tanah, terutama warga emas, mengenai kaedah semakan dan pembayaran secara dalam talian supaya urusan berkaitan dapat dilakukan dengan lebih mudah.

“Saya pasti mereka mahu membayar cukai, tetapi disebabkan tidak tahu, mungkin mereka terlepas pandang. Kerajaan negeri tidak akan kehilangan hasil disebabkan perkara ini.

“Kita mahu hasil negeri meningkat dan pada masa sama pegangan tanah dalam kalangan bumiputera Melayu terus kekal serta bertambah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zahar berkata, pihaknya bimbang sekiranya perkara tersebut tidak diatasi, akan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap kelemahan itu.

Ringkasan AI

  • DPMP menggesa kerajaan Perak pastikan orang Melayu tidak kehilangan tanah akibat cukai tertunggak
  • Banyak kes di luar bandar di mana pemilik tanah terlepas pandang bayaran cukai tanpa notis fizikal
  • Kebanyakan pemilik tanah luar bandar adalah warga emas kurang mahir sistem digital
  • Zahar menggesa kerajaan negeri untuk mengarahkan pejabat daerah memberi peringatan dan penjelasan cara bayar cukai dalam talian
  • Zahar bimbang tanah bumiputera berkurangan jika isu ini tidak ditangani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!