ART umpama Malayan Union kedua, orang Melayu perlu bersatu - Tun M

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu perlu berasa bimbang terhadap ancaman penjajahan bentuk baharu yang seakan mengulangi sejarah gagasan Malayan Union pada tahun 1946.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, dakwaan beliau cuba menakut-nakutkan orang ramai berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) adalah tidak berasas kerana kebimbangan itu berdasarkan pengalaman sejarah negara.
“Dahulu kita berjaya menentang Malayan Union yang cuba dipaksakan ke atas Tanah Melayu.
"Namun hari ini, ART pula datang dengan cara yang hampir sama, dipaksakan ke atas kita oleh AS seperti British dahulu," katanya ketika berucap di Konvensyen Melayu 153, di sini pada Sabtu.
Bekas Presiden UMNO itu turut mendakwa, wujud pihak dalam kalangan bangsa sendiri yang mempertahankan kepentingan kuasa luar dan sanggup bersekongkol sehingga membuka ruang kepada penjajahan semula seperti era Malayan Union
Malah menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, ART bukan sekadar perjanjian ekonomi, sebaliknya membawa implikasi besar terhadap kedaulatan negara termasuk berpotensi menghakis hak bumiputera, menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu serta mengetepikan kuasa negeri-negeri yang bergabung.
"Apabila kita menyerahkan kedaulatan negara, kesannya bukan kecil.
"Hak bangsa teras akan terhakis dan kedaulatan negara akan terjejas," tegasnya.
Dr Mahathir berkata, cabaran yang dihadapi ketika ini jauh lebih besar dan hanya dapat ditangani sekiranya orang Melayu kembali bersatu mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan negara.
Justeru beliau menyeru agar orang Melayu tidak berpecah-belah meskipun terdapat perbezaan pandangan dan tekanan politik.
"Saya tidak minta dihormati atau disanjung. Kejilah dan hinalah saya, tetapi saya merayu agar orang Melayu bersatu demi masa depan bangsa, agama dan negara,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, perlu berasa bimbang akan ancaman penjajahan bentuk baharu mirip gagasan Malayan Union
- Tun Dr Mahathir menganggap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan AS sebagai bentuk penjajahan baru
- Beliau menyatakan bahawa ART bukan hanya perjanjian ekonomi, tetapi juga berpotensi menghakis hak Bumiputera dan kedaulatan negara
- Menurut beliau, terdapat pihak dalam kalangan bangsa Melayu yang bersekongkol dengan kuasa luar, membuka ruang kepada penjajahan semula
- Dr Mahathir menyeru orang Melayu bersatu mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan negara demi masa depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

