UniKL MIIT terus misi merakyatkan teknologi melalui CSR Tech4Ummah

BENTONG - Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) meneruskan misi merakyatkan teknologi melalui Program Khidmat Sosial Korporat (CSR) Tech4Ummah siri ketiga di Maahad An-Noer, Janda Baik di sini, Sabtu lalu.
Dekan merangkap Ketua Kampus UniKL MIIT, Prof Ts Dr Mohd Nizam Husen berkata, program yang dimulakan sejak 2023 itu menggabungkan dua elemen dalam satu masa iaitu perkongsian ilmu pengetahuan dan CSR kepada kumpulan sasar.
Menurutnya, program itu sendiri bermatlamat merapatkan jurang dan merakyatkan teknologi selain mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi itu dengan masyarakat.

"Dua siri sebelum ini, Program CSR Tech4Ummah diadakan bersama komuniti di Parlimen Gombak dan Parlimen Pekan namun kali ini kita buat kelainan apabila memilih institusi agama dengan kerjasama Maahad An-Noer ini.
"Sebelum ini kita melibatkan pelajar tapi kali ini semua 120 orang yang terlibat dalam kalangan pensyarah dan kakitangan," katanya ketika ditemui pada program itu.
Turut hadir Mudir Maahad An-Noer, Hafiz Mohd Suid dan Pengurus Projek, Muhammad Ezra Muhammad Ismail.
Mohd Nizam berkata, bertemakan 'Pemerkasaan Komuniti Melalui Teknologi dan Nilai Insani' program itu melibatkan perkongsian kepakaran dalam bidang teknologi, aplikasi kepintaran buatan (AI) dan kreativiti digital.
"Pengisian utama program merangkumi sesi perkongsian ilmu, etika, AI dan dunia tanpa sempadan,AI untuk huffaz (Demo CapCut), Dari Kalam ke Canva: Dakwah Kreatif dengan AI dan aktiviti gotong-royong komuniti," ujarnya.

Beliau berkata, program gotong-royong tertumpu kepada aktiviti membersihkan kawasan maahad dan memasak untuk makan tengah hari bersama para pelajar dan warga maahad itu.
"Sebagai program tahunan, CSR Tech4Ummah akan diteruskan namun untuk tahun hadapan kita akan teliti kelainan dan kumpulan sasarnya.
"Mungkin lepas ini kita santuni anak-anak yatim atau masyarakat Orang Asli. Paling penting kita bawa teknologi terkini untuk dikongsikan," jelasnya.
Ringkasan AI
- UniKL MIIT menjalankan Program CSR Tech4Ummah siri ketiga di Maahad An-Noer, Janda Baik untuk merapatkan jurang teknologi
- Program ini menggabungkan elemen perkongsian ilmu dan CSR kepada kumpulan sasar
- Kali ini, program diadakan bersama institusi agama berbanding pelajar seperti siri sebelumnya, dengan penyertaan semua pensyarah dan kakitangan
- Program ini bertemakan 'Pemerkasaan Komuniti Melalui Teknologi dan Nilai Insani', meliputi perkongsian tentang AI dan kreativiti digital
- Aktiviti melibatkan sesi perkongsian ilmu, gotong-royong membersihkan kawasan dan masak bersama, dengan iterasi seterusnya mungkin menyasarkan anak-anak yatim atau Orang Asli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

