Pertempuran Thailand-Kemboja berterusan

BANGKOK - Pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja berterusan awal Sabtu, hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa kedua-dua negara telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, beliau memaklumkan kepada Trump bahawa gencatan senjata hanya boleh dilaksanakan sekiranya Kemboja menarik balik semua tenteranya dan membersihkan periuk api di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.
“Thailand akan meneruskan operasi ketenteraan sehingga kami tidak lagi merasakan ancaman atau bahaya terhadap tanah dan rakyat kami. Saya mahu jelaskan perkara ini. Tindakan kami pagi ini sudah membuktikannya,” katanya menerusi media sosial.
Serangan artileri dilaporkan berterusan sepanjang malam ketika tentera Thailand berusaha menguasai beberapa kedudukan strategik di sepanjang sempadan.
Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban, manakala kira-kira 700,000 penduduk dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.
Trump sebelum ini mendakwa 'mampu menghentikan' pertempuran antara kedua-dua negara hanya dengan membuat panggilan telefon.
Selepas berbincang dengan kedua-dua Perdana Menteri pada Jumaat malam, beliau menulis di media sosial bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju untuk “menghentikan tembakan berkuat kuasa malam ini” serta kembali kepada perjanjian yang dimeterai pada Oktober lalu.
“Kedua-dua negara bersedia untuk keamanan,” katanya.
Pada Sabtu, Kemboja melaporkan serangan udara baharu oleh Thailand. Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa dua jet pejuang F-16 Thailand menggugurkan tujuh bom ke atas beberapa sasaran.
“Pesawat tentera Thailand masih belum menghentikan pengeboman,” menurut kenyataan kementerian itu.
Pertikaian sempadan yang berlarutan sejak sekian lama memuncak pada 24 Julai apabila Kemboja melancarkan serangan roket ke Thailand, sebelum Thailand membalas dengan serangan udara. Kedua-dua pihak saling menuduh memulakan serangan.
Selepas beberapa hari pertempuran sengit yang mengorbankan puluhan nyawa, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata “serta-merta dan tanpa syarat” hasil pengantaraan Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, kedua-dua pihak terus saling menuduh melanggar perjanjian tersebut. Thailand menuduh tentera Kemboja meletakkan periuk api yang menyebabkan tujuh askarnya kehilangan anggota badan, manakala Kemboja mendakwa periuk api itu peninggalan perang saudara pada era 1980-an.
Ketegangan terus memuncak minggu ini apabila Thailand melancarkan serangan udara ke dalam wilayah Kemboja selepas dua tenteranya cedera dalam pertempuran kecil. Kemboja bertindak balas dengan serangan roket. Konflik ini menjejaskan enam wilayah di timur laut Thailand dan enam wilayah di utara serta barat laut Kemboja.
Thailand dan Kemboja telah mempertikaikan sempadan darat sepanjang 800 kilometer selama lebih satu abad. Sempadan itu ditetapkan oleh pemetaan Perancis pada 1907 ketika Kemboja berada di bawah pemerintahan kolonial Perancis. - Agensi
Ringkasan AI
- Pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja berterusan meskipun ada dakwaan perjanjian gencatan senjata
- Thailand memerlukan Kemboja menarik tentera dan membersihkan periuk api bagi melaksanakan gencatan senjata
- Serangan artileri berlangsung sepanjang malam dengan kedua-dua pihak cuba menguasai kedudukan strategik
- Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dengan 700,000 penduduk dipindahkan
- Pertikaian sempadan ini berlarutan lebih satu abad dengan sempadan ditetapkan pada 1907 ketika Kemboja di bawah pemerintahan kolonial Perancis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

