Anwar, Li Qiang bincang kerjasama perdagangan, kestabilan serantau dalam mesyuarat dua hala

Anwar (kanan) mengadakan perbincangan dengan Li Qiang (tengah) pada mesyuarat dua hala di Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
Anwar (kanan) mengadakan perbincangan dengan Li Qiang (tengah) pada mesyuarat dua hala di Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan selain menangani isu-isu utama serantau menjadi tumpuan perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang pada mesyuarat dua hala di sini pagi ini.

Difahamkan bahawa perbincangan tertutup selama 15 minit itu turut menyentuh isu-isu serantau, dengan China menyatakan sokongannya terhadap usaha damai berkaitan situasi di sempadan Kemboja-Thailand serta krisis yang berterusan di Myanmar.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam sektor automotif dan teknologi tinggi, termasuk pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

Mesyuarat itu turut membincangkan isu berkaitan jaringan infrastruktur termasuk peluasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang serta dalam bidang penting seperti unsur nadir bumi (REE), projek saluran paip air Perak-Pulau Pinang dan industri halal.

Kerjasama dalam sektor pelancongan dan mobiliti rakyat turut diketengahkan selain usaha meningkatkan kesalinghubungan udara dengan menarik lebih banyak penerbangan kargo dari China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka turut membincangkan kerjasama dalam industri semikonduktor dan mengekalkan sokongan untuk inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG).

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mengalu-alukan penyertaan China dalam memacu APG untuk menggalakkan kerjasama tenaga mampan di rantau ini.

Mengenai ekonomi digital, Malaysia mempelawa syarikat teknologi terkemuka China untuk memperluas kedudukan dan pelaburan mereka di Malaysia, selain menggalakkan syarikat baharu untuk mewujudkan operasi serantau di negara ini.

Terdahulu, Anwar dalam ucapan berkata, "Anda telah berkunjung ke Malaysia banyak kali, begitu juga saya ke China. Saya menghargai penyertaan anda, ia amat bermakna kepada Malaysia dan ASEAN. Saya fikir kita akan memberi tumpuan kepada isu dua hala hari ini.”

Artikel Berkaitan:

"Dan terima kasih atas jemputan Presiden Xi Jinping untuk ulang tahun ke-80 China dan saya berharap dapat bertemu dengannya di Korea Selatan dalam beberapa hari ini,” kata beliau.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan timbalannya, Liew Chin Tong serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Li Qiang turut menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) yang dinaik taraf, diikuti Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 pagi ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang diadakan selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini di bawah tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan,” telah menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan dan pemimpin dari lebih 30 buah negara dan organisasi antarabangsa untuk meningkatkan kerjasama serantau. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kerjasama perdagangan dan pelaburan serta isu serantau menjadi fokus perbincangan antara Perdana Menteri Malaysia dan China
  • China menyokong usaha damai di sempadan Kemboja-Thailand dan krisis Myanmar
  • Perbincangan mencakupi sektor automotif, teknologi tinggi, serta pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif di Tanjung Malim
  • Isu infrastruktur, industri halal dan kerjasama dalam sektor pelancongan dan mobiliti rakyat turut dibincangkan
  • Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mengalu-alukan penyertaan China dalam inisiatif Grid Tenaga ASEAN untuk kerjasama tenaga mampan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!