Asrama sekolah terbakar: Kebakaran berpunca dari asrama lelaki

Asrama menempatkan murid SK Pinapak Pitas musnah terbakar.
Asrama menempatkan murid SK Pinapak Pitas musnah terbakar.
A
A
A

PITAS - Kebakaran yang memusnahkan bangunan asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Pinapak Pitas pada pagi Jumaat, dipercayai bermula dari asrama lelaki sebelum merebak ke asrama perempuan serta ke seluruh bangunan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, ketika kejadian kesemua 60 murid yang tinggal di asrama tersebut berada di dalam kelas mengikuti sesi pembelajaran.

"Kebakaran disyaki bermula jam 8 pagi apabila api didapati bermula dari dorm asrama lelaki dan kemudian mula merebak ke dorm perempuan serta seluruh Bangunan.

"Kejadian terjadi sangat pantas dan hasil pemeriksaan secara kasar mendapati keseluruhan bangunan tingkat atas asrama terbakar termasuk, katil, tilam, bantal dan pakaian murid," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Keadaan asrama SK Pinapak Pitas yang terbakar dalam kejadian pagi Jumaat.
Keadaan asrama SK Pinapak Pitas yang terbakar dalam kejadian pagi Jumaat.

Katanya lagi, pihak bomba kini dalam proses membuat siasatan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran yang bermula daripada dorm lelaki.

"Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan seramai 30 murid lelaki serta 30 murid perempuan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing susulan kejadian tersebut.

"Sesi persekolahan diteruskan seperti biasa pada minggu hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, susulan kejadian tersebut, Raisin berkata, beberapa langkah telah diambil oleh pihaknya bagi memastikan keselamatan dan kelangsungan sesi pembelajaran pelajar.

Menurutnya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas bertindak segera dengan menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan oleh pihak sekolah dan meminta sekolah menyediakan laporan awal.

"Memandangkan bangunan baharu sekolah hampir siap, PPD mencadangkan agar penempatan sementara asrama dapat dibuat di bangunan sedia ada berhampiran (bangunan asrama lama), yang juga digunakan sebagai kelas sementara semasa pembinaan asrama baharu," katanya.

Sementara itu, Raisin berkata, JPN Sabah telah berhubung dengan PPD Pitas untuk mendapatkan laporan lanjut berkaitan kejadian.

Tambah Raisin lagi, pihaknya juga mengarahkan PPD Pitas memantau perkembangan semasa dan melaporkan dengan kadar segera setiap perkembangan, selain menghubungi agensi-agensi berkaitan untuk memantau aspek keselamatan dan kebajikan warga sekolah.

"Selain itu, JPN Sabah membuat penyelarasan kepada sektor-sektor berkaitan berdasarkan peranan masing-masing bagi memastikan tindakan yang lebih sistematik," ujarnya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan bangunan menempatkan 60 murid di sekolah tersebut musnah terbakar pada pagi Jumaat.

Ringkasan AI

  • Kebakaran memusnahkan bangunan asrama SK Pinapak Pitas dan bermula dari asrama lelaki
  • Ketika kejadian, semua 60 murid berada di dalam kelas
  • Api merebak sangat pantas menyebabkan kerugian perabot dan pakaian murid
  • Tiada kemalangan jiwa dan semua murid dibenarkan pulang
  • Langkah keselamatan dan siasatan forensik sedang dilakukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!