Bekas komando 'dipukau' rakan hingga rugi lebih RM200,000

Mohd Zaidi menunjukkan laporan polis dan gambar kilang
Mohd Zaidi menunjukkan laporan polis dan gambar kilang
A
A
A

SEREMBAN - Wang ganjaran tamat perkhidmatan seorang bekas komando termasuk wang simpanan berjumlah lebih RM200,000 bukan saja 'hangus' begitu saja, malah hidupnya berubah sekelip mata sehingga anaknya beberapa bulan tidak ke sekolah kerana kehabisan wang.

Semuanya berpunca apabila Mohd Zaidi Nordin, 42, diperdaya oleh rakan sendiri yang kononnya menawarkan peluang perniagaan minyak masak subsidi dua tahun lalu.

Bapa kepada empat anak ini berkata, dia bagaikan dipukau apabila dengan rela hati menyerahkan kesemua wang tersebut kepada rakannya.

"Saya sebenarnya dah lama terputus hubungan dengan dia, tapi secara kebetulan berjumpa dengan seorang rakan lain di sebuah restoran yang menawarkan projek membuka kilang minyak masak subsidi.

"Saya pula baru saja bersara sebagai tentera dan memang merancang berniaga, jadi saya pun bersetuju sebelum keesokannya rakan saya itu menghubungi memaklumkan lebih lanjut mengenai projek terbabit," katanya ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, dia kemudian ditunjukkan sebuah kilang di Senawang dan dibawa pula ke sebuah kawasan perumahan mewah yang kononnya milik suspek.

"Masa itu penampilan dia seperti ahli perniagaan dan itu yang meyakinkan saya, tanpa rasa ragu-ragu.

"Kemudian kami ke Indonesia, katanya ada perniagaan tepung dan gula di sana. Tapi sepanjang 11 hari di sana, kami tak buat apa-apa pun dan dia bertanyakan mengenai duit ganjaran persaraan saya yang akan dijadikan sebagai modal perniagaan kami," katanya.

Seperti mengantuk disorongkan bantal, bapa kepada empat anak itu telah membuat lebih 10 transaksi wang ke dalam akaun suspek termasuk isterinya sehingga duit persaraannya tinggal RM1.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dia mula berasa curiga tetapi mengakui ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa dan terus mengikut kehendak suspek.

"Saya tak tahulah apa yang terjadi pada saya waktu itu kerana bila fikirkan semula, saya seperti dalam keadaan 'separuh sedar'.

"Bayangkan selepas kami balik ke Malaysia, saya boleh dengar cakap dia untuk membawa keluarga berpindah ke sebuah rumah di Sendayan termasuk memberi lebih RM60,000 wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepadanya," katanya.

Disebabkan itu ujar Mohd Zaidi, dia kehabisan wang sehingga terpaksa menjual kereta Nissan Almera miliknya untuk perbelanjaan keluarga.

Malah katanya, tiga anaknya beberapa bulan tidak ke sekolah kerana mereka kehabisan wang.

"Saya memang dah tak ada duit langsung waktu itu dan disebabkan itu juga saya terpaksa jual kereta.

"Saya hanya sedar ditipu selepas abang dan kakak ipar datang ke rumah membuat bacaan Yassin. Saya betul-betul terduduk waktu itu," katanya.

Dia kemudian berhubung dengan suspek dan meminta kesemua wangnya dikembalikan, namun suspek meminta tempoh.

Bagaimanapun ujarnya, suspek menghilangkan diri, malah rumahnya juga telah kosong dan lagi mengejutkan kediaman tersebut rupa-rupanya hanyalah rumah sewa.

"Saya betul-betul hilang arah sekarang. Saya dah buat laporan polis pada Julai tahun lalu dan gambar suspek pun saya lampirkan, tapi sehingga hari ini saya tak tahu apa-apa perkembangan kes.

"Kalau ikutkan, keseluruhan jumlah wang yang saya ditipu ialah RM221,872. Nak teruskan hidup, saya bekerja kontrak seperti mengambil upah mengecat, menyimen dan menebang pokok," katanya.

Justeru, dia berharap suspek dapat ditangkap supaya tiada individu lain yang menjadi mangsa.

 

Ringkasan AI

  • Wang ganjaran tamat perkhidmatan bekas komando termasuk wang simpanan berjumlah lebih RM200,000 hangus akibat diperdaya rakan tawar peluang perniagaan minyak masak subsidi
  • Mohd Zaidi Nordin, bapa kepada empat anak, menyerahkan semua wang tersebut kepada rakan tanpa rasa ragu
  • Bekas komando itu membuat lebih 10 transaksi wang ke dalam akaun suspek sehingga wang persaraannya tinggal RM1
  • Akibat kehilangan semua wang, Mohd Zaidi terpaksa menjual kereta dan menghadapi masalah kewangan hingga anak-anaknya tidak ke sekolah beberapa bulan
  • Mohd Zaidi telah membuat laporan polis tetapi hingga kini belum mendapat sebarang perkembangan tentang kes tersebut, kini bekerja kontrak untuk sara hidup

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!