Asrama SK Pinapak Pitas tempatkan 60 murid terbakar

PITAS - Sebuah asrama menempatkan kira-kira 60 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pinapak, di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, semua murid terselamat kerana berada di kelas masing-masing untuk menjalankan aktiviti sekolah ketika api mula marak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.13 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, seramai lima anggota BBP Pitas bersama dua anggota dari BBP Kota Marudu digerakkan ke lokasi kejadian.
"Komander Operasi melapor kebakaran melibatkan sebuah asrama jenis kekal dan semasa kejadian tiada murid berada di dalam asrama.
"Operasi memadamkan api segera dijalankan menggunakan kaedah 'offensive' menggunakan pancutan sumber air dari jentera bomba," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya lagi, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.58 pagi, dan pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada mangsa terlibat.
"Asrama tersebut difahamkan didiami 30 murid lelaki dan 30 lagi murid perempuan namun setakat ini tiada melibatkan sebarang mangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

