30 rumah musnah dalam kebakaran besar di Kampung Sri Aman, Tawau

TAWAU - Sebanyak 30 buah rumah tidak kekal di perkampungan atas air musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar yang berlaku lewat malam tadi di Kampung Sri Aman, Lorong Jade 4, Jalan Apas.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.23 malam, dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I Suheizan Sahak berkata, kebakaran melibatkan struktur rumah papan dan kayu yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan secara berperingkat menggunakan kaedah Pemadaman Pertama, Kedua dan Ketiga, dengan bantuan beberapa aliran pancutan air serta sumber air terbuka dari laut,” katanya.
Bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang operasi, pasukan bomba turut menggunakan pam angkut dan sistem relay air daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Water Tanker.
Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kawasan berhampiran, sekali gus menyelamatkan kira-kira 300 buah rumah lain di sekitar lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.44 tengah malam, dan operasi ditamatkan pada jam 3.10 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada risiko bahaya susulan.
Seramai 24 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini, melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Kunak serta Bomba Komuniti Kampung Titingan.
Operasi turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Jabatan Air.
Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam kejadian tersebut. - Awani
Ringkasan AI
- Kebakaran besar di Kampung Sri Aman, Tawau meranapkan 30 rumah tidak kekal
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah tiba di tempat kejadian sembilan minit selepas menerima panggilan kecemasan
- Rumah yang terbakar dibina daripada papan dan kayu, terbakar 100 peratus
- Operasi pemadaman menggunakan beberapa aliran pancutan air dan sumber air terbuka dari laut
- Tindakan pantas pasukan bomba menghalang api daripada merebak ke kawasan berhampiran, menyelamatkan kira-kira 300 buah rumah lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
