'Tolak UEC bukan sebab anti bahasa Mandarin' - Pakar pendidikan

Anuar
Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menolak dan membantah sepenuhnya cadangan supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan UEC dianggap penghinaan kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Saya tolak pengiktirafan UEC bukan kerana saya anti bahasa Mandarin. Saya percaya bahasa Mandarin sangatlah penting untuk dikuasai.

“Tetapi apabila ada desakan supaya UEC diiktiraf kerajaan, setaraf dengan sijil rasmi peperiksaan awam Malaysia yang lain, contohnya Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, maka kita seharusnya tegas menolak cadangan pengiktirafan UEC,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) berkata, jika kerajaan masih mahu meneruskan niat mengiktiraf UEC, ia bermakna keputusan itu juga satu kesalahan undang-undang di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Mereka mahu jumpa Perdana Menteri supaya iktiraf UEC. Riuh seluruh negara. Rakyat jadi tak tenteram. Ada yang sampai ‘kutuk mengutuk’ sesama sendiri. Percayalah, mereka sedang menonton dan berseronok.

“Kemudian mereka akan diam, senyap seolah-olah tiada apa-apa berlaku, sedangkan perbuatan mereka telah ‘mencalarkan’ perasaan banyak pihak.

“Nanti bila perlu, mereka akan muncul lagi. Desak lagi iktiraf UEC. Inilah yang berlaku sejak Julai 1959. Ketika itu pertelingkahan antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan Presiden kedua MCA, Tun Dr Lim Chong Eu,” ujar beliau.

Menurutnya, pada Julai 1959, Chong Eu menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman untuk mendesak dua perkara dan salah satunya mengiktiraf peperiksaan yang dilaksanakan sekolah Cina persendirian.

Artikel Berkaitan:

Jika tidak diiktiraf, katanya, ahli MCA akan memboikot parti Perikatan yang diketuai UMNO pada PRU pertama selepas merdeka iaitu pada 1959.

“Tunku Abdul Rahman terkejut, terpaksa panggil perhimpunan khas UMNO untuk buat keputusan dan sebulat suara menolak tuntutan MCA. Perwakilan UMNO ketika itu bertegas kedudukan bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan.

“Biar UMNO kalah pilihan raya sekali pun, bahasa Melayu ialah ‘jiwa’ mereka. Hebat orang UMNO dahulu dan memang betul, pada PRU 1959 boikot itu berlaku. Parti Perikatan khususnya calon UMNO tidak diundi penyokong MCA dan ramai hampir kalah.

“Inilah contoh provokasi dan desakan bertalu-talu yang selalu berlaku dalam sejarah UEC sejak 1959,” katanya.

Menurut Anuar, negara yang mahu membina sebuah negara bangsa berjiwa kebangsaan tidak akan membenarkan sama sekali sekolah vernakular berada dalam sistem kebangsaan mereka.

Jelasnya, negara yang mahu mempertahankan bahasa kebangsaan, budaya kebangsaan dan perpaduan tidak akan membenarkan kewujudan sekolah vernakular yang dibiayai oleh kerajaan.

“Tapi pemimpin Melayu negara ini sejak merdeka, toleransi mereka sangat tinggi sehingga adakala toleransi ‘berlebihan’ ini merimaskan orang Melayu sendiri.

“Anda tidak akan jumpa sebuah negara di dunia ini yang memberi pengiktirafan kepada sekolah vernakular Cina dan Tamil, kemudian bersetuju pula memasukkan sekolah berkenaan dalam sistem pendidikan kebangsaan, seterusnya sediakan peruntukan tahunan. Tak akan jumpa,” tegas beliau.

 

 

Ringkasan AI

  • Pakar Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad menolak pengiktirafan UEC kerana dianggap penghinaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
  • Pengiktirafan UEC bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan
  • Desakan pengiktirafan UEC telah menimbulkan ketidakpuasan dan pergolakan dalam masyarakat sejak Julai 1959
  • Tuntutan pengiktirafan UEC dianggap provokasi yang menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sejak zaman Tunku Abdul Rahman
  • Negara yang mempertahankan bahasa kebangsaan tidak akan memberi pengiktirafan kepada sekolah vernakular dalam sistem pendidikan kebangsaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!