PTPTN perkenal tiga cabutan istimewa SSPN, tawar hadiah RM1.4 juta

Pemenang hadiah utama dan kedua Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 Kategori Platinium bergambar bersama Norliza (tengah) semasa Majlis Pelancaran Cabutan Simpan SSPN 2026.
Pemenang hadiah utama dan kedua Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 Kategori Platinium bergambar bersama Norliza (tengah) semasa Majlis Pelancaran Cabutan Simpan SSPN 2026.
A
A
A

SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM1.4 juta untuk dimenangi oleh 954 pendeposit.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program berkenaan merangkumi tiga cabutan istimewa iaitu Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026, Cabutan WOW! Plus Siri dan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay!.

Ujar beliau, kempen yang bermula sejak 1 Januari lalu itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada pendeposit yang memilih Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan pendidikan anak-anak.

“Buat julung kalinya, PTPTN turut memperkenalkan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! bagi menarik minat penyertaan generasi muda.

“Cabutan ini terbuka kepada pendeposit Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus berumur antara 16 hingga 29 tahun yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.

“Pendeposit juga hendaklah membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN dalam tempoh kempen untuk menyertai cabutan ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Norliza, Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 yang merupakan kempen kategori tahunan PTPTN menawarkan hadiah utama, sebuah kereta Honda CR-V 1.5L E.

Norliza (kiri) diiringi Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (kanan) merasmikan pelancaran Cabutan Simpan SSPN 2026 pada Khamis.
Norliza (kiri) diiringi Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (kanan) merasmikan pelancaran Cabutan Simpan SSPN 2026 pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hadiah tempat kedua ialah kereta Perodua Ativa 1.0L Turbo AV untuk dua pemenang, diikuti tempat ketiga menawarkan wang tunai RM30,000 kepada tiga pemenang dan hadiah sagu hati wang tunai RM1,000 untuk 250 pemenang.

“Hadiah utama Kategori Cabutan WOW! Plus Siri pula ialah wang tunai RM20,000 untuk seorang pemenang, tempat kedua wang tunai RM15,000 (dua pemenang), tempat ketiga, wang tunai RM10,000 (tiga pemenang) dan hadiah sagu hati berupa wang tunai RM500 (50 pemenang) bagi setiap siri.

“Hadiah utama Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! ialah Motosikal Yamaha NVX 155 untuk seorang pemenang, tempat kedua iPhone 17 Pro (empat pemenang), tempat ketiga DJI Osmo Pocket 3 Creator Combo (10 pemenang) dan hadiah sagu hati wang tunai RM500 (250 pemenang) bagi setiap siri,” ujarnya.

Menurut Norliza, penganjuran Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 bertujuan bagi menghargai pendeposit setia sedia ada yang telah membuka akaun sebelum atau pada 31 Disember tahun lalu dan membuat penambahan simpanan sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Menurutnya, Cabutan WOW! Plus Siri pula terbuka kepada pendeposit baharu dan sedia ada yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan sepanjang tempoh kempen.

“Untuk menyertai kempen ini pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.

“Setiap simpanan bersih RM50 merangkumi simpanan dan takaful layak mendapat lima cabutan secara automatik.

“Pendeposit yang membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN, potongan gaji atau debit terus akan menikmati bilangan cabutan berganda iaitu 10 cabutan sekali gus, memberi lebih banyak peluang untuk menang,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional menerusi Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 menawarkan hadiah bernilai RM1.4 juta untuk 954 pendeposit
  • Kempen melibatkan tiga cabutan istimewa; Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026, Cabutan WOW! Plus Siri dan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay!
  • Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! diperkenalkan untuk menarik generasi muda, terbuka kepada pendeposit berumur 16 hingga 29 tahun
  • Hadiah utama termasuk sebuah kereta Honda CR-V 1.5L E, kereta Perodua Ativa 1.0L Turbo AV, dan wang tunai
  • Pendeposit layak mendapat lima cabutan secara automatik untuk setiap simpanan bersih RM50, dengan peluang berganda jika menggunakan aplikasi myPTPTN, potongan gaji atau debit terus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!