'Tak wajar politikkan isu UEC' - Johari Ghani

KUALA LUMPUR - Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak wajar dipolitikkan kerana setiap rakyat mempunyai pilihan pendidikan masing-masing.
Demikian kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut beliau, perkara paling asas yang perlu dijaga adalah sikap saling hormat-menghormati terhadap sistem pendidikan dalam negara.
"Setiap ahli politik ada pandangan masing-masing dan ini perkara biasa. Tetapi bagi saya, perkara paling penting adalah semua rakyat Malaysia menghormati apa yang kita ada.
"Kalau ada yang tidak bersetuju dengan UEC, mereka tidak perlu memilih aliran itu.
"Jika ada yang merasakan UEC diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mahu mengikutinya, itu pilihan mereka," katanya.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata demikian selepas merasmikan program 'Malaysia-UK Partnering for Accelerated Climate Transitions (UK PACT) 2.0', di sini pada Rabu.
Tegas Johari, Malaysia menawarkan pelbagai laluan pendidikan termasuk universiti, kolej dan aliran akademik berbeza tanpa sebarang paksaan.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa sekolah kebangsaan sudah mempunyai silibus yang ditetapkan kerajaan dan sebarang perubahan perlu dilaksanakan dengan teliti serta menyeluruh.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi teguran kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming supaya memahami terlebih dahulu Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum meminta pengiktirafan UEC.
Kata beliau, tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan perkara tersebut apabila UEC tidak menepati aspek penting dalam dasar berkenaan.
Menurut Muhamad Akmal, sebagai seorang menteri Kabinet, Kor Ming sepatutnya lebih mengetahui dan memahami intipati dasar negara itu.
Ringkasan AI
- Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak wajar dipolitikkan kerana setiap rakyat mempunyai pilihan pendidikan masing-masing
- Sikap saling hormat-menghormati terhadap sistem pendidikan dalam negara adalah perkara asas
- Pilihan untuk mengikuti atau tidak UEC bergantung kepada individu
- Malaysia menawarkan pelbagai laluan pendidikan tanpa sebarang paksaan
- Sekolah kebangsaan mempunyai silibus yang ditetapkan kerajaan dan perubahan harus teliti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

