'Hasrat arwah Azrul Fariz hadir majlis kecemerlangan anak tak kesampaian'

REMBAU – Hasrat seorang bapa untuk meraikan kejayaan anaknya pada hari anugerah sekolah Sabtu ini tidak kesampaian apabila pengawal peribadi, Azrul Fariz Kamarul Baharin, 43, maut ditembak dalam kejadian di Jalan Rasah menghala ke Plaza Tol Port Dickson, Rabu lalu.
Menurut sahabat rapatnya, Nizam Hashim, apa yang paling meruntun jiwa ialah apabila mengetahui Allahyarham sebenarnya sudah mengambil cuti semata-mata untuk menghadiri hari anugerah sekolah anaknya yang berusia 12 tahun, namun hajat itu tidak menjadi kenyataan.
“Isteri arwah yang maklumkan kepada saya. Dia ambil cuti sebab nak raikan anaknya… tapi tak kesampaian. Mereka ada lima anak berusia lapan hingga 21 tahun,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau pada Khamis.
Nizam turut merayu orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut kerana ia hanya menambah luka kepada keluarga dan rakan-rakan arwah.
“Macam-macam orang tulis… ada yang tuduh arwah bawa dadah dan macam-macam lagi. Tolonglah, jangan anggap yang bukan-bukan.

“Arwah bekerja sebagai pengawal peribadi, menjaga nyawa orang, mencari rezeki untuk anak dan isteri,” katanya.
Beliau turut meminta agar gambar dan video Allahyarham ketika nazak di dalam kereta tidak ditularkan demi menghormati keluarga.
Kenal hampir 15 tahun, Nizam menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang komited pada tugas dan sentiasa prihatin terhadap kawan-kawan.
“Kita tak minta semua ini berlaku, tapi inilah risiko kerja kami.
“Kalau bos tak meninggal, kita yang meninggal. Itu yang berlaku kepada kawan saya. Arwah jaga majikan sampai ke titisan darah terakhir,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas ditembak ketika berada di dalam kereta di Jalan Rasah.
Mangsa yang maut dipercayai bekerja sebagai pengawal peribadi, manakala seorang lagi mangsa berusia 47 tahun mempunyai 15 rekod jenayah lampau.
Ringkasan AI
- Seorang bapa pengawal peribadi, Azrul Fariz Kamarul Baharin, maut ditembak menjelang hari anugerah sekolah anaknya
- Azrul mengambil cuti khusus untuk menghadiri hari anugerah sekolah anaknya yang berusia 12 tahun
- Dia meninggalkan lima anak yang berusia antara lapan hingga 21 tahun
- Sahabatnya, Nizam Hashim, merayu agar tidak ada spekulasi negatif dan perkongsian gambar atau video arwah
- Azrul digambarkan sebagai individu yang komited pada tugas dan prihatin terhadap keluarga dan kawan-kawan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

