Isteri rebah, suasana pilu selubungi Jabatan Forensik Hospital Rembau

REMBAU - [DIKEMAS KINI] Suasana pilu yang menyayat hati menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Rembau apabila isteri kepada pengawal peribadi, Azrul Fariz Kamarul Baharin, 43, rebah selepas tidak mampu menahan kesedihan melihat jenazah suami buat kali terakhir.
Tangisan wanita itu bergema di ruang legar forensik hingga memaksa ahli keluarga menenangkannya sebelum dia diangkat masuk ke dalam kereta.
Anak-anaknya yang turut berada di lokasi dilihat cuba menahan sebak, namun seorang daripadanya tenang apabila disapa pemberita.
Detik memilukan itu menyentuh hati para petugas dan rakan-rakan arwah yang hadir, menggambarkan betapa besar kehilangan yang ditanggung keluarga berkenaan.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke sebuah masjid di Cheras, Kuala Lumpur untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke sebuah masjid di Cheras, Kuala Lumpur untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Sementara itu, kawan baik kepada Allahyarham Azrul Fariz meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut.
Menurut Nizam Hashim, pelbagai andaian yang timbul di media sosial bukan saja telah mengguris hati keluarga Allahyarham, malah rakan-rakan.
"Pada netizen di luar sana, tolong jangan anggap yang bukan-bukan. Ada yang kata bawa dadahlah, itulah, inilah...tolong ye.
"Kalau tak tahu cerita, jangan buat spekulasi macam-macam. Arwah bekerja sebagai pengawal peribadi menjaga nyawa orang, mencari rezeki untuk anak, bini," katanya ditemui Sinar Harian di Jabatan Forensik Hospital Rembau di sini pada Khamis.
Dia yang juga pengawal peribadi turut meminta semua pihak supaya tidak terus tularkan gambar dan video Allahyarham yang sedang nazak di dalam kereta bagi menghormati pihak keluarga.
Tambahnya, sepanjang hampir 15 tahun mengenali Allahyarham, dia sememangnya komited pada tugasnya.

"Kita tak minta semua ini jadi macam ini, tapi inilah kerja seorang pengawal peribadi.
"Kalau bos tak meninggal, kita yang meninggal seperti mana yang terjadi kepada kawan saya kerana prinsipal kita adalah menjaga nyawa majikan.
"Dalam kejadian yang berlaku, arwah menjaga majikannya sehingga ke titisan darah yang terakhir," katanya.
Selain itu ujar Nizam, Allahyarham merupakan seorang teman yang baik dan bukan saja bertanggungjawab kepada keluarga, tetapi sangat prihatin terhadap kawan-kawan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas ditembak ketika berada di dalam kereta dalam kejadian di Jalan Rasah.
Mangsa yang maut berusia 43 tahun dan dipercayai bekerja sebagai pengawal peribadi disahkan meninggal dunia pada jam 12.50 tengah hari, Rabu.
Seorang lagi mangsa berusia 47 tahun dilaporkan mempunyai 15 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
Ringkasan AI
- Kawan baik kepada pengawal peribadi yang maut minta orang ramai tidak buat spekulasi
- Azrul Fariz Kamarul Baharin, 43, disahkan meninggal kena tembak
- Nizam Hashim, rakan, juga pengawal peribadi, menghargai komitmen Allahyarham
- Allahyarham berkerja keras untuk keluarga, bercita-cita hadiri anugerah sekolah anak
- Jenazah dibawa ke masjid di Cheras untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

