'Bodyguard' maut ditembak dalam kereta, seorang lagi ada 15 rekod jenayah

Alzafny
Alzafny
A
A
A

SEREMBAN - Seorang daripada dua lelaki yang ditembak di dalam kereta di Jalan Rasah menghala ke Plaza Tol Port Dickson di sini pagi Rabu disahkan telah meninggal dunia.

Lelaki berusia 43 tahun itu yang dipercayai berkerja sebagai pengawal peribadi disahkan meninggal dunia jam 12.50 tengah hari tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 7.53 pagi.

"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis(IPD) Seremban, telah terima panggilan Hotline daripada seorang lelaki memaklumkan satu kejadian tembak menembak telah berlaku.

"Siasatan di lokasi telah menemui kesan tompokan darah di atas jalan raya dan telah menjumpai beberapa kelongsong peluru,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pasukan Forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian tembakan dua lelaki di dalam kereta
Pasukan Forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian tembakan dua lelaki di dalam kereta

Tambahnya, hasil pemeriksaan awal terdapat beberapa kesan tembakan pada kenderaan Perodua Myvi dinaiki mangsa dan mereka dipercayai ditembak oleh dua lelaki yang menaiki motosikal.

Menurutnya, dua lelaki yang cedera telah dibawa ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi semasa kejadian bersama kenderaan yang dinaiki mangsa.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 47 tahun dan 43 tahun.

"Lelaki berusia 47 tahun itu mempunyai 15 rekod kes jenayah atas pelbagai kesalahan manakala seorang lagi tiada rekod jenayah.

"Mereka telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini, namun mangsa berusia 43 tahun yang berada dalam keadaan kritikal disahkan meninggal dunia jam 12.50 tengah hari ketika sedang dirawat,"katanya.

Alzafny memaklumkan motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971).

Ringkasan AI

  • Seorang daripada dua lelaki yang ditembak dalam kereta di Jalan Rasah menghala ke Plaza Tol Port Dickson meninggal dunia
  • Lelaki berusia 43 tahun itu dipercayai bekerja sebagai pengawal peribadi
  • Kejadian diterima pihak polis jam 7.53 pagi dan siasatan awal menemui kesan darah dan kelongsong peluru
  • Kedua-dua mangsa adalah warga tempatan berusia 47 dan 43 tahun, yang lebih tua mempunyai 15 rekod jenayah
  • Motif kejadian masih dalam siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!