Jurukimpal maut tertindih bakul jengkaut di tapak pembinaan benteng pemecah ombak

Gambar tular menunjukkan bahagian bakul jengkaut yang dipercayai terbalik sebelum menimpa mangsa.
Gambar tular menunjukkan bahagian bakul jengkaut yang dipercayai terbalik sebelum menimpa mangsa.
A
A
A

KUALA NERUS – Seorang jurukimpal maut selepas tertindih bakul (bucket) jengkaut ketika menjalankan kerja-kerja kimpalan di tapak pembinaan benteng pemecah ombak di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat melalui panggilan MERS 999 pada jam 9.48 pagi berhubung penemuan seorang lelaki tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan.

Menurutnya, mangsa, Mohd Rosli Awang, 54, yang beralamat di Kampung Alur Limbat, Marang sedang melakukan kerja-kerja mengimpal besi penyambung pada bahagian bakul besi jengkaut bersama seorang pembantu sebelum insiden berlaku.

"Ketika melakukan kerja kimpalan, bucket besi itu tiba-tiba terbalik dan menimpa belakang badan mangsa.

"Pembantunya sempat mengalihkan bucket menggunakan excavator, namun mangsa ketika itu sudah tidak sedarkan diri.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Batu Rakit," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) berdasarkan keterangan saksi di lokasi.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk bedah siasat yang dijalankan pada jam 2 petang.

"Keputusan penuh bedah siasat akan dimaklumkan kepada waris selepas proses tersebut selesai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Jurukimpal maut tertindih bakul jengkaut di tapak pembinaan Kampung Tanjung, Batu Rakit
  • Mangsa, Mohd Rosli Awang, sedang mengimpal besi penyambung ketika insiden berlaku
  • Bucket besi tiba-tiba terbalik dan menimpa belakang badan mangsa
  • Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian
  • Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa unsur jenayah, bedah siasat dijalankan di UniSZA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!